PAS Selangor nafi Shahidan jadi calon PRN, lapor media


PAS Selangor menafikan laporan yang Shahidan Kassim akan bertanding di Pilihan Raya Negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

PAS menafikan laporan yang Shahidan Kassim mungkin akan bertanding di DUN Semenying pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir mendedahkan yang tidak wujud perbincangan untuk mencalon wakil rakyat Arau itu dan parti itu sudah mengenalpasti calon mereka.

“Setakat ini, calon yang disenarai pendek PAS Selangor adalah dalam kalangan anak jati negeri ini sahaja. Tiada perbincangan untuk meletakkan Shahidan.

“Bagaimanapun, di peringkat pusat kami tidak tahu jika ada cadangan untuk meletakkannya sebagai calon di mana-mana kerusi DUN untuk PRN akan datang,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Sebelum ini wujud laporan yang Perikatan Nasional (PN) akan mengharapkan aura Shahidan untuk meraih sokongan di Selangor selepas bekas menteri Umno itu membantu mereka menang 17 daripada 18 kerusi DUN Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

Selain Shahidan, parti pembangkang Bersatu juga dikatakan menawarkan Khairy Jamaluddin untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris dipetik sebagai berkata ada jemputan kepada Khairy dibuat Presidennya Muhyiddin Yassin selepas bekas menteri itu dibuang daripada Umno pada Januari lepas.

PRN di enam negeri dijangka akan diadakan serentak pada Julai.

Minggu lepas Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah yang juga timbalan menteri besar Kelantan-salah satu daripada tiga negeri ditadbir PAS- berkata pembubaran DUN enam negeri itu dijangka berlaku secara berperingkat pada Jun berdasarkan persefahaman antara mereka.

Enam negeri tersebut adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kelantan, Terengganu dan Kedah ditadbir PAS adalah kubu kuat pembangkang di bawah gabungan Perikatan Nasional.

Tiga lagi negeri lain ditadbir Pakatan Harapan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – 30 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen