Shahidan gesa kerajaan adil agih peruntukan kepada ahli Parlimen


Shahidan Kassim berkata beliau dimaklumkan ahli Parlimen PN di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak menerima sebarang peruntukan untuk kawasan mereka daripada kerajaan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2023.

KERAJAAN perpaduan yang diketuai oleh Anwar Ibrahim sepatutnya mengagihkan peruntukan kawasan kepada semua ahli Parlimen secara sama rata, kata Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Arau daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata beliau dimaklumkan ahli Parlimen PN di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak menerima sebarang peruntukan untuk kawasan mereka daripada kerajaan persekutuan.

“Kami dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum, jadi saya tidak nampak sebab rakyat perlu dihukum kerana memilih ahli Parlimen daripada pembangkang, kerana kehadiran pembangkang adalah perlu (di Parlimen) kerana ia adalah semak dan imbang.

“Rakyat membayar cukai kepada kerajaan selama ini, jadi dengan menghukum kerana ahli Parlimen mereka dalam pembangkang adalah tidak wajar,” bekas pemimpin Umno itu dilaporkan berkata hari ini.

PN adalah satu-satunya pakatan pembangkang di Parlimen selepas Pakatan Harapan menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dengan gabungan dan parti lain untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Shahidan juga mendakwa semasa pentadbiran PN di bawah Muhyiddin Yassin, peruntukan diagihkan kepada semua ahli Parlimen termasuk mereka pembangkang. – 3 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen