BN Pulau Pinang mengaku naikkan poster anti Pakatan


Looi Sue-Chern

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow mengakui dalang disebalik poster anti Pakatan Harapan yang muncul pagi ini di negeri itu adalah kerja Barisan Nasional negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018.

MISI menaikkan poster anti Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh semalaman di sekitar negeri tercapai, kata Pengerusi Barisan Nasional Negeri Teng Chang Yeow.

Walaupun diselar pemimpin DAP Pulau Pinang, beliau mengatakan misi poster itu tercapai, iaitu sebagai petanda bermulanya kempen BN di negeri itu dan menghantar mesej kepada rakyat Pulau Pinang.

“Kami mahu mengingatkan rakyat yang kerajaan negeri sekarang tidak menunaikan 51 janjinya sejak berkuasa.

“Kami sudah capai matlamat kami. Kami juga berterima kasih kepada DAP kerana membantu mengedarkan gambar poster itu di Facebook,” kata Teng kepada The Malaysian Insight.

Poster dalam pelbagai bahasa itu memaparkan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berlatarbelakangkan gambar banjir dan tanah runtuh dan mempunyai tulisan: “Boasting Pakatan Harapan” (temberang Pakatan Harapan) dan “10 years, 51 empty promises” (10 tahun, 51 janji kosong).

BN sudah lama menuduh kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP gagal menunaikan sekurang-kurangnya 51 janji sejak mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 2008.

“Kami mencetak 16,000 keping poster untuk seluruh negeri. Kami edarkan 400 hingga 600 salinan setiap satu kepada 40 kawasan Dewan Undangan Negeri. Ia hanya diletakkan berhampiran jalan, supaya orang boleh tengok,” kata Teng lagi.

Poster cemarkan alam sekitar, dinaikkan secara haram

Dalam reaksi serta merta kepada pengakuan Teng, Exco Kerajaan Pulau Pinang dan Ketua DAP Negeri Chow Kon Yeow “merayu” supaya pemimpin BN “menyokong inisiatif kebersihan dan kehijauan negeri dengan mengelak menaikkan poster yang tidak mesra alam”.

Chow berkata poster itu mencemarkan imej bersih negeri dana lam sekitar malah mendatangkan bahaya kepada penunggang motosikal dan merosakkan harta benda awam.

Katanya lagi, ia “satu pembaziran sumber bernilai” untuk menggunakan sangat banyak kertas bagi mencetak poster semata-mata mahu menyerang ketua menteri.

“Pekerja majlis perbandaran juga terpaksa dikerahkan untuk membersihkan kekotoran ini. Penduduk juga tidak gembira persekitaran mereka dipenuhi poster. Pilihan raya umum belum berlaku lagi.”

“Jika Teng meneruskan perang poster ini, majlis perbandaran mungkin tak akan bersihkan lagi. Sebaliknya ia akan dibiarkan sampai rakyat nampak dan memalukan Teng sampai dia terpaksa bersihkan sendiri,” kata Chow.

Poster dalam pelbagai bahasa itu memaparkan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berlatarbelakangkan gambar banjir dan tanah runtuh dan mempunyai tulisan: Boasting Pakatan Harapan (temberang Pakatan Harapan) dan 10 years, 51 empty promises (10 tahun, 51 janji kosong). – Gambar Facebook, 20 Mac, 2018.

Pembantu Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang Syarleena Abdul Rashid juga menyelar tindakan menaikkan “poster memfitnah” itu menyifatkannya sebagai “kempen memburuk-burukan secara besar-besaran”.

Syarleena yang juga pengarah pendidikan politik Wanita DAP mengatakan Teng nampaknya terlupa yang peraturan majlis perbandaran menghendaki permit dikeluarkan sebelum sebarang poster atau bahan bercetak dinaikkan di tempat awam.

Teng yang merupakan bekas pemimpin kerajaan negeri sepatutnya memahami pendekatan sebegitu hanya menampakkan lagi kelemahan BN dan memperlihatkan sikap mereka yang tidak mempedulikan undang-undang dan peraturan, kata Syarleena lagi.

Tindakan Teng juga menampakkan sikap tidak tahu malu BN dalam “memanipulasi sistem untuk kepentingan diri mereka”, tambahnya.

“Tidak ragu lagi yang BN sedang terdesak untuk merampas kembali Pulau Pinang dan terbukti yang mereka akan berbuat apa sahaja termasuklah kaedah politik yang hina hanya untuk memuaskan kehendak tuan politik mereka,” katanya.

Muhasabah dasar sendiri

Menjawab kritikan itu, Teng mengatakan kerajaan negeri sendiri yang gagal memenuhi janji kehijauan alam menggunakan kes tarahan Bukit Relau dan kejadian tanah runtuh di Balik Pulau.  

“Selesaikan isu seperti itu. Ia masalah jauh lebih besar berbanding poster,” katanya yang turut menafikan mereka mencemarkan persekitaran dengan menaikkan poster itu.

“Kami tak tampal poster di semua tempat. Arahan diberikan supaya poster tidak ditampal di bangunan persendirian dan kerajaan. Ia ditampal di pokok. Ia diletakkan dengan cara yang mudah ditanggalkan.

“Kami bukan orang tiada tanggungjawab. Kami tak kucar kacirkan keadaan. Mereka (pemimpin negeri dan DAP) yang kelam kabut sendiri.”

Teng juga memberitahu Chow supaya tidak memfitnahnya atau BN dengan wang 1MDB sekiranya tiada bukti.

Dalam catatan di Facebook awal hari ini, Chow mengatakan musuh PH “mempunyai sangat banyak wang dan sumber untuk hapuskan kami (PH) dan merampas Pulau Pinang balik,” dan “mereka masih ada banyak wang daripada 1MDB yang tidak dibelanjakan pada pilihan raya lepas”.

“Bolehkah dia buktikan yang saya ada duit 1MDB masuk ke dalam akaun saya dan BN masih ada duit yang kononnya lebihan 1MDB daripada pilihan raya lepas? Saya boleh saman dia (kerana tuduhan itu) tetapi itu (menyaman) bukan cara saya,” kata Teng. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • CM Lim jgn cepat melatah,cm lim patut gunakan kesempatan ini utk menagih simpati rakyat p.pinang supaya menyokong dia

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan