Poster anti Lim Guan Eng berkibaran di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Poster itu ditulis dalam pelbagai bahasa mengutuk pentadbiran Pakatan Harapan dan Lim Guan Eng. – Gambar Facebook, 20 Mac, 2018.

Pulau Pinang dikejutkan awal pagi ini apabila poster memaparkan mesej anti Ketua Menteri Lim Guan Eng dinaikkan di seluruh negeri itu.

Poster gambar Lim berlatarbelakangkan gambar banjir dan tanah runtuh dan mempunyai tulisan: “Boasting Pakatan Harapan” (temberang Pakatan Harapan) dan “10 years, 51 empty promises” (10 tahun, 51 janji kosong).

Poster yang dicetak dalam pelbagai bahasa itu tidak mempunyai logo atau pengenalan lain tentang pihak yang bertanggungjawab menaikkannya.

Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) sebelum ini mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditadbir DAP gagal menyempurnakan sekurang-kurangnya 51 projek sejak pembangkang mengambil alih negeri itu pada 2008.

Menurut Malaysiakini, Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow mengakui BN meletakkan poster itu.

Beberapa wakil rakyat dan ahli majlis DAP Pulau Pinang mendedahkan dan mengutuk perbuatan itu menerusi Facebook.

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Prai Jason Hng memuat naik video di Facebook yang menunjukkan dua lelaki menunggang motosikal meletakkan poster itu pada waktu malam.

Video itu menunjukkan kedua-duanya didatangi oleh dua yang lain. Seorang lelaki berkata dia tidak mahu melaporkan hal itu sementara seorang lagi berkata: “You bagi kotor lah…bagi kotor habis.”

Salah seorang daripada lelaki yang mendatangi mereka, kelihatan merampas poster berkenaan sebelum berlalu pergi. Tidak dapat dipastikan di mana insiden itu berlaku.

Exco kerajaan tempatan Pulau Pinang Chow Kon Yeow di Facebook pagi tadi mengutuk perbuatan menaikkan poster itu malam tadi.

Beliau menunjukkan beberapa gambar poster berkenaan, dengan salah satunya menunjukkan satu lokasi di Bagan, di mana Lim ialah ahli Parlimen di situ.

“Lihat iklan berbayar di akhbar tempatan menyerang kerajaan negeri. Mereka ada banyak duit dan sumber untuk bunuh kami dan rampas Pulau Pinang kembali.

“Mereka masih ada banyak wang daripada 1MDB yang berbaki daripada pilihan raya lepas,” katanya.

Chow, yang juga pengerusi DAP Pulau Pinang berkata lawan PH sudah memulakan “kempen jahat” menggunakan poster, iklan surat khabar dan alat komunikasi media sosial seperti video dan infografik.

Katanya, pemimpin DAP dan PH, ahli dan penyokong tidak boleh memandang rendah cita-cita BN untuk merampas Pulau Pinang.

“Itu sebabnya pemimpin BN sangat yakin Teng Chang Yeow akan jadi ketua menteri selepas ini.

“Seperti biasa DAP akan menjalankan kempen bersih untuk menonjolkan pencapaian kami sepanjang 10 tahun lalu. Rakyat yang akan buat keputusan.”

Difahamkan pihak berkuasa tempatan di negeri itu sedang menurunkan poster berkenaan yang dipasang tanpa permit. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • wow. macam ni pon boleh salahkan kerajaan ke?? mana video tu?? memang pasti ke orang dalam video tu orang bn?? jgn main cakap je. nak kata menurut malaysiakini pon bukan boleh harap. benda yang dibuat artikel tu belum tentu 100% betul.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan