MCA sudah tak relevan


SAYA merujuk kenyataan dikeluarkan jurucakap Publisiti MCA Ti Lian Ker yang mendakwa DAP cenderung beralih ke “dasar berasaskan etnik” yang dikuasai parti Bersatu.

Dengan memetik jumlah pengulangan kosa kata “bumiputera”, “Melayu”, “Cina”, “India” dan “Orang Asli” yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), Ti ternyata begitu naif sekali kerana tidak mampu melihat keseluruhan tawaran yang dikemukakan PH terhadap permasalahan yang sedang melanda negara ketika ini.

Ketika rakyat dihimpit beban kos sara hidup yang tinggi dan pemimpin negara terpalit pelbagai skandal serta rasuah, Ti dan parti MCA hanya mampu melihat segala permasalahan ini menerusi kaca mata perkauman semata-mata.

Ternyata MCA gagal melihat isu sebenar, jauh sekali untuk mencermati tawaran PH bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.

MCA juga gagal mengemukakan solusi kepada permasalahan negara dan hanya mampu kembali ke garis keras perkauman.

Saya masih boleh terima sekiranya MCA mengkritik tawaran-tawaran manifesto PH lantas mengemukakan cadangan-cadangan baru yang lebih baik dan konstruktif.

Idea lawan idealah!

Namun dari kenyataan Ti, ternyata MCA sudah “tiada modal” lagi untuk berhadapan dengan rakyat dan bercakap soal dasar serta tawaran polisi yang baik bagi menyelamatkan ekonomi negara.

Dalam kenyataan yang sama juga, Ti turut mendedahkan sikap hipokrit beliau apabila mengkritik manifesto pilihan raya PAS. Beliau kononnya mengatakan PAS mahu melaksanakan hukuman jenayah agama yang lebih ketat dan membandingkan ia dengan manifesto BN yang didakwa lebih menyentuh soal toleransi, kepelbagaian kaum dan budaya.

Sedangkan Ti terlupa bahawa dalam isu RUU355 di Parlimen pada sesi-sesi Dewan Rakyat yang lalu yang mengaitkan sandiwara PAS dan kerajaan persekutuan membuktikan bahawa Umno adalah “segala-galanya” dalam BN.

MCA tidak mampu lakukan apa-apa.

Daripada pemerhatian saya, MCA sudah tidak relevan sama sekali untuk rakyat Malaysia. Dalam banyak hal, MCA hanya pandai “buat riuh” sahaja tetapi hakikatnya tidak mampu untuk lakukan apa-apa. – 20 Mac, 2018.

* Sheikh Omar Ali adalah penolong setiausaha publisiti DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • xpayah nk cakap laa. DAP apa gunaaa. jgn cakap orang. tengok parti sendiri tu. betulkan negeri bawah DAP dulu baru nk cakap lain dekat orang. lagipon MCA menjalankan tugas dengan baik.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan

  • Teringakan kata2 nazri aziz yg belasah mca aritu

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan