Pencemaran udara punca lebih 1,200 kanak-kanak maut di Eropah


November lalu, EEA mengumumkan 238,000 kematian pramatang akibat pencemaran udara pada 2020 di EU berserta Iceland, Liechtenstein, Norway, Switzerland dan Turkiye. – Gambar EPA, 24 April, 2023.

PENCEMARAN udara terus menjadi punca lebih 1,200 kematian pramatang setahun direkodkan dalam golongan berumur bawah 18 tahun di seluruh Eropah, selain meningkatkan risiko penyakit kronik pada kemudian hari, menurut agensi alam sekitar Kesatuan Eropah (EU), hari ini.

Meskipun ada penambahbaikan sejak kebelakangan ini, pencemar udara utama di banyak negara Eropah masih melepasi paras ditetapkan dalam garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terutama di tengah-timur Eropah dan Itali.

Perkara itu ditekankan Agensi Alam Sekitar Eropah (EEA) selepas kajian dilakukan di lebih 30 negara, termasuk 27 negara anggota EU.

Bagaimanapun, laporan itu tidak membabitkan negara perindustrian utama seperti Rusia, Ukraine dan United Kingdom (UK), justeru jumlah kematian terbabit berkemungkinan lebih tinggi di benua ini.

November lalu, EEA mengumumkan 238,000 kematian pramatang akibat pencemaran udara pada 2020 di EU berserta Iceland, Liechtenstein, Norway, Switzerland dan Turkiye.

“Pencemaran udara menyebabkan lebih 1,200 kematian pramatang setahun dalam kalangan mereka yang berusia bawah 18 tahun di Eropah, dan meningkatkan secara ketara akan risiko penyakit pada kemudian hari,” menurut agensi itu.

Ia adalah kajian pertama EEA yang memfokus secara khusus terhadap golongan kanak-kanak.

“Walaupun angka kematian pramatang dalam kumpulan umur ini masih rendah berbanding jumlah populasi Eropah yang dianggarkan EEA setiap tahun, kematian pada awal usia menyumbang kepada kehilangan potensi masa depan serta turut membawa beban penyakit kronik dalam kehidupan zaman kanak-kanak dan kemudian hari,” kata agensi itu lagi.

EEA sekali gus menggesa pihak berkuasa supaya menumpukan usaha untuk mempertingkat kualiti udara di kawasan sekitar sekolah, pusat asuhan, kemudahan sukan dan hab pengangkutan massa.

“Selepas seseorang dilahirkan, pencemaran udara ambien meningkatkan risiko beberapa masalah kesihatan, termasuk asma, mengurangkan fungsi paru-paru, jangkitan pernafasan dan alahan.

“Kualiti udara yang teruk juga boleh memburukkan lagi keadaan kronik seperti asma yang dialami sembilan peratus kanak-kanak dan remaja di Eropah, selain meningkatkan risiko beberapa penyakit kronik pada usia dewasa,” menurut laporan itu.

Berdasarkan perangkaan dikeluarkan, hari ini, kira-kira 97% penduduk bandar pada 2021 terdedah kepada udara yang tidak memenuhi saranan WHO.

Tahun lalu, EEA memaklumkan EU berada di landasan betul untuk mencapai sasarannya ke arah mengurangkan kematian pramatang sebanyak 5% menjelang 2030 berbanding pada 2005.

Pada awal 1990-an, zarah halus menyebabkan hampir 1 juta kematian pramatang setahun di 27 negara anggota EU. Bagaimanapun, ia menurun kepada 431,000 pada 2005.

Namun, keadaan di Eropah dilihat lebih baik berbanding kebanyakan tempat lain di bumi, menurut WHO yang menggariskan pencemaran udara sebagai punca kira-kira tujuh juta kematian di seluruh dunia setiap tahun - angka hampir menyamai kematian akibat tabiat merokok atau diet tidak sihat. Beberapa ratus ribu kematian berkenaan membabitkan golongan berumur bawah 15 tahun.

Zarah halus terutama daripada asap kenderaan dan boleh menembus jauh ke dalam paru-paru, dianggap pencemar udara paling teruk, diikuti nitrogen dioksida dan ozon. – AFP, 24 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen