SEGAMAT di Johor adalah satu-satunya lokasi di negara ini yang merekodkan kualiti udara “tidak sihat” dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) 125 pada pukul 10 pagi.
Ia turun kepada 106 pada 11 pagi.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Bacaan 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Antara jam 12 tengah hari – 5 petang semalam, kualiti udara Segamat juga tidak sihat dengan bacaan IPU antara 103 – 110.
Semalam dan awal pagi ini, bacaan berlegar pada 90 sebelum mencapai 100 pada 9 pagi.
Bagaimanapun, kualiti udara di Petaling Jaya bertambah baik selepas kawasan itu melaporkan kualiti udara tidak sihat semalam.
Bacaan pada pukul 11 pagi ini ialah 70 selepas mencatatkan 114 semalam.
Daripada 68 stesen yang Jabatan Alam Sekitar merekodkan kualiti udara, hanya 12 stesen dalam kategori “baik” dan 41 dalam “sederhana”.
Untuk bacaan terkini IPU, lawati http://apims.doe.gov.my/api_table.html
Semenanjung kini mengalami cuaca panas dan berjerebu.
Minggu lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini disebabkan kebakaran gambut dan pembakaran terbuka.– Bernama, 23 April, 2023.
Komen