Tentera laut Eropah diminta buat rondaan di Selat Taiwan 


Wakil Tinggi Kesatuan Eropah bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Josep Borrell berkata Taiwan penting bagi EU 'dari segi ekonomi, komersial dan teknologi'.– Gamnbar EPA, 23 April, 2023.

KETUA dasar luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell menyeru tentera laut Eropah untuk melakukan rondaan di Selat Taiwan, menerusi satu artikel dalam akhbar mingguan Perancis yang diterbitkan hari ini.

Komen Borrell dalam Journal Du Dimanche, adalah susulan daripada ulasan yang dibuatnya minggu lalu apabila beliau menekankan betapa pentingnya Taiwan kepada Eropah.

Taiwan “penting bagi kita dari segi ekonomi, komersial dan teknologi”, kata Borrell.

“Itu sebabnya saya menyeru tentera laut Eropah untuk meronda di Selat Taiwan bagi menunjukkan komitmen Eropah terhadap kebebasan pelayaran di kawasan yang sangat penting ini.”

Dua minggu lalu, China melancarkan latihan ketenteraan selama tiga hari di sekitar Taiwan sebagai tindak balas kepada pertemuan antara Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dan Speaker Dewan AS Kevin McCarthy.

Dalam ucapan pembukaan perbahasan mengenai China di Parlimen Eropah pada Selasa, Borrell berkata: “Taiwan jelas sebahagian daripada perimeter geostrategik kami untuk menjamin keamanan.

“Ia bukan sahaja atas sebab moral bahawa tindakan terhadap Taiwan mesti ditolak. Ia juga kerana ia, dari segi ekonomi, amat serius bagi kami, kerana Taiwan mempunyai peranan strategik dalam pengeluaran semikonduktor tercanggih,” katanya.

Komen Borrell dibuat selepas Presiden Perancis Emmanuel Macron awal bulan ini berhujah bahawa Eropah tidak seharusnya menjadi “pengikut” Amerika Syarikat sekiranya berlaku konflik dengan China mengenai Taiwan.

Kenyataan Macron, yang dibuat selepas lawatan ke China, mencetuskan kritikan daripada beberapa ahli politik di Amerika Syarikat dan di dalam Kesatuan Eropah.

China mendakwa Taiwan sebahagian daripada wilayahnya dan berikrar untuk menjadikan pulau itu di bawah kawalannya. – AFP, 23 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen