Thailand umum pelan promosi produk kebudayaan di seluruh dunia 


Thailand menumpukan untuk mempromosi produk kebudayaan di seluruh dunia melalui pendekatan "5F".– Gambar Facebook, 18 April, 2023.

KEMENTERIAN Perdagangan (MOC) Thailand akan mengambil langkah memacu dasar pembangunan soft power kerajaan dengan tumpuan mempromosi produk kebudayaan Thailand di seluruh dunia melalui pendekatan “5F” – Food (makanan), film (filem), fashion (fesyen), Fighting (permainan) dan Festivals (perayaan), lapor VNA.

Menurut Phusit Ratanakul Sereroengrit, Ketua Pengarah Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP) MOC, kerajaan memperakui bidang berkenaan sebagai wadah berpotensi untuk soft power, sambil menambah bahawa kementerian itu akan membuat pelarasan dengan Kementerian Kebudayaan dan Kementerian Pelancongan dan Sukan untuk mendorong pelaksanaan dasar itu.

DITP dipertanggungjawab untuk menggalakkan usahawan mengeksport produk dengan tumpuan khusus bagi mengubah minda mereka supaya dapat menerap lebih banyak budaya dan nilai Thailand dengan matlamat untuk memastikan ia diterima di peringkat antarabangsa, terutama dalam bidang makanan, filem, fesyen, produk gaya hidup dan kandungan digital.

Data Kementerian Kebudayaan menunjukkan industri filem negara itu bernilai 34.1 bilion baht (AS$988 juta) pada 2021. Data Agensi Penggalakan Ekonomi Digital pula menanggarkan industri perisian bernilai 163 bilion baht, permainan 37.1 bilion baht, animasi 3.39 bilion baht manakala watak pada 1.6 bilion baht.

Di samping itu, pengeluaran filem asing dan penerbitan kandungan melalui kontrak juga mencatatkan pertumbuhan yang ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Phusit menekankan bahawa Thailand akan berusaha untuk mempromosi identitinya dalam produk fesyen dan gaya hidup di seluruh Asia, Australia, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) melalui pameran perdagangan antarabangsa seperti STYLE Bangkok.

Menurut Phusit, jabatan itu mahu mengutamakan pasaran eksport utama, termasuk AS, Eropah, India, tanah besar China, Hong Kong, Asia Timur dan Asean, dengan menumpukan kepada membangunkan keyakinan dan mempromosi imej positif produk dan perkhidmatan Thailand.

Beliau berkata matlamat ini akan dicapai melalui inisiatif seperti pensijilan restoran Thailand menggunakan tera Thai Select yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan seluruh dunia, penyertaan dalam festival filem antarabangsa di AS, Republik Korea dan Perancis, dan promosi eksport barangan kesihatan dan spa di Asean, Asia Barat dan Eropah.

Thai Select adalah sebahagian daripada program Masakan Dapur Dunia Thailand yang diperkenal pada 2006 untuk memanfaatkan populariti masakan negara itu di peringkat global.

Eksport makanan Thailand bernilai 946 bilion baht pada 2022, meningkat 16% tahun ke tahun. Tahun ini, kementerian menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan 5%, dengan memanfaatkan potensi tinggi sektor keterjaminan makanan, selain pertumbuhan 14% dalam eksport kandungan digital.– Bernama, 18 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen