DUA pegawai Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes melibatkan pengambilan pekerja asing dibebaskan.
Memetik sumber daripada SPRM, The Star melaporkan bahawa perintah reman kedua-duanya berakhir pada hari ini (17 April).
Turut dibebaskan ialah suspek ketiga - seorang ahli perniagaan.
Pada 12 April lalu, seorang pegawai kanan dan ahli perniagaan berusia antara 40 dan 50 tahun dilaporkan ditahan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Bangkok, Thailand.
Pegawai kanan itu dikatakan bekas pemimpin sayap Pemuda Sosialis DAP (Dapsy).
Kedua-duanya direman selama enam hari.
Dua hari kemudian pada 17 April, seorang lagi pegawai kanan, dipercayai memegang jawatan setiausaha sulit, ditahan selepas dipanggil untuk direkodkan kenyataannya.
Dia direman selama empat hari.
Semalam, Sivakumar berkata beliau telah menggantung tugas setiausaha sulitnya bersama dua pegawai tugas khas berikutan penahanan mereka.
Pada hari yang sama, Sivakumar telah dipanggil agensi anti rasuah itu untuk membantu siasatan. – 17 April, 2023.
Komen