‘Perasuah lawan perasuah’ dalam pilihan raya negeri?


Fakhrurrazi Rashid

Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB menjadi daya penarik pengundi dengan jenama ‘Bossku’, khasnya untuk meyakinkan penyokong akar umbi Umno-BN untuk keluar mengundi di PRN Johor dan Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

PILIHAN raya umum ke-15 (PRU15) membuktikan tiada gabungan parti politik yang boleh menang selesa dan membentuk kerajaan bersendirian. 

Kini pengundi daripada pelbagai segmen baharu mempunyai banyak pilihan untuk memangkah parti politik untuk membentuk kerajaan. Bila banyak pilihan, lebih ramailah pengundi atas pagar.

Hitungan politik pilihan raya mudah. Parti mana mampu menambat pengundi atas pagar, peratsuan untuk menang itu tinggi.

Namun, pengundi atas ini agak rumit. Pandangan politik sentiasa berubah-ubah dan lebih bergantung kepada tawaran parti politik dan kempen media sosial.  

Sejak dua dekad yang lalu, isu rasuah dan salah guna kuasa antara isu yang amat dititik beratkan pengundi atas pagar.

Ketegasan rakyat dalam isu ini menjadi punca Najib Razak dan Umno - Barisan Nasional (BN) tewas PRU14 dan kalah teruk dalam pilihan raya umum pada 19 November lalu. 

Persoalannya, adakah isu ini terus mendapat tempat dalam enam pilihan raya negeri (PRN) nanti?

Politik pasca PRU15 agak janggal. Pemimpin yang masih didakwa di mahkamah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan bersama parti yang menentang rasuah. 

Pembangkang pula didakwa terpalit dengan salah guna kuasa seperti kes Jana Wibawa yang menelan berbilion ringgit duit rakyat semasa Covid-19.

Bermaksud dalam enam PRN ini parti kerajaan dan pembangkang di peringkat pusat terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa, sama ada tersurat atau tersirat.

Adakah PRN kali ini bakal menyaksikan akan timbul naratif ‘perasuah lawan perasuah’?

PRN kali ini perlu menjadi medan mencari sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan mampu berdaya tahan dalam tempoh lima tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

Apakah jumlah kes rasuah antara kedua-dua belah akan menjadi ukuran buat pengundi? Jumlah kes rasuah yang sedikit dianggap ‘bersih’?

Jelas sekali, parti Melayu seperti Umno dan Bersatu antara figura besar yang terpalit dalam isu rasuah dan salah guna kuasa. 

Kini, kedua-dua parti Melayu ini boleh dikira ‘bertahan’ kerana berada dalam gabungan parti atau kerjasama politik dengan parti-parti lain. 

Bossku lawan Abah Prihatin?

Kalau kita soroti PRN Melaka dan Johor pada tahun 2022 dan 2020, Umno-Barisan Nasional (BN) masih mampu mendapat majoriti selesa di kedua-dua PRN meskipun diserang kiri dan kanan mengenai isu rasuah dan 1MDB oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB menjadi daya penarik pengundi dengan jenama ‘Bossku’, khasnya untuk meyakinkan penyokong akar umbi Umno-BN untuk keluar mengundi di PRN Johor dan Melaka.

Namun kemenangan Umno-BN ini bukan soal tunggal mengenai Najib tetapi ia lebih kepada situasi semasa di mana peratusan keluar mengundi rendah dan negara masih berada dalam era pandemik. 

Imej ‘Abah prihatin’ pula tidak membantu Bersatu-PN di kedua-dua PRN Melaka dan Johor. PN menang beberapa kerusi ketika itu dan paling rendah berbanding PH dan BN. 

Namun, PN boleh memberi saingan sengit, khususnya di kawasan Melayu yang dipelopori Umno-BN dan separa bandar dikuasai PH.

Imej Muhyiddin Yassin sebagai ‘Abah prihatin’ tidak membantu Bersatu-PN di kedua-dua PRN Melaka dan Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

Kalau ikutkan cerita PRN ini, Umno-BN punyai kelebihan berbanding Bersatu-PN dalam konteks PRN. Namun, dinamik politik telah berubah pada PRU15.

Pemenjaraan Najib Razak dalam kes SRC dan imej korup Zahid Hamidi telah membawa Umno-BN ke dalam gaung. Imej ‘Abah prihatin’ pula menjadi tarikan sehingga PN berjaya merampas kerusi Umno-BN dan PH dalam PRU15. 

Adakah personaliti Muhyiddin Yassin mampu mencapai tahap Bossku dan memungkin PN membentuk kerajaan di peringkat negeri? 

Sejauh mana Abah Prihatin boleh mengikat simpati pengundi, khasnya orang Melayu, dengan kes Jana Wibawa yang didiakwa PN sebagai pendakwaan politik dan terpilih daripada kerajaan perpaduan.

Sebab itu, naratif Umno-BN mendesak pembebasan Najib Razak mungkin stratergi memujuk akar umbi kembali ke pangkuan Umno. 

Malangnya, ada pemimpin Umno pula menuduh beberapa parti dalam kerajaan perpaduan menjadi liabiliti buat Umno untuk menarik sokongan semula pengundi Melayu. 

Ironinya, Umno-BN tewas PRU15 atas sebab imej pemimpin yang terpalit dengan isu tidak berintegriti.

Mencari kerajaan negeri berdaya tahan

Umno dan Bersatu adalah ‘liabiliti’ buat gabungan parti masing-masing. Kedua-dua parti ini tidak melakukan sebarang perubahan besar, kecuali meningkatkan usaha membebaskan pemimpin kanan parti yang terpalit dengan isu tidak berintegriti. Sudah pasti ini akan membebankan PH dan PAS menuju PRN.

Rugi jika PRN akan datang didominasi kempen tentang siapa perasuah paling besar atau kecil. 

Dan, menjadikan enam PRN sebagai tempat membalas dendam parti-parti politik pasca PRU15 adalah satu kerugian besar buat rakyat.

Pengundi tidak seharusnya terpedaya dan terperangkap dalam naratif ‘perasuah lawan perasuah’ ini. 

Komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menarik pelabur-pelabur besar bagi membangunkan ekonomi rakyat adalah penanda aras yang paling efektif untuk memilih kerajaan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 April, 2023.

PRN kali ini perlu menjadi medan mencari sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan mampu berdaya tahan dalam tempoh lima tahun. 

Komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menarik pelabur-pelabur besar bagi membangunkan ekonomi rakyat adalah penanda aras yang paling efektif untuk memilih kerajaan negeri.

PRN adalah peluang untuk pengundi memilih kerajaan bersifat strategik, mampu mengambil peluang peralihan ekonomi di peringkat global bagi menarik seberapa banyak pemain industri membuat pelaburan di negeri masing-masing yang boleh menjana pendapatan dan peluang ekonomi kepada rakyat.

Mungkin ini pandangan tidak popular, tetapi ia adalah jalan terbaik memastikan kesejahteraan rakyat berada di landasan yang betul.

Apabila kesejahteraan hidup rakyat terbela, ia melancarkan agenda pembangunan negeri dan Malaysia itu sendiri. 

Mana mungkin sesebuah negeri akan maju jika gaji rakyatnya tidak setimpal dan terus dibelenggu bebanan hidup. – 17 April, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen