Bagaimana mahu menjadi pemikir jika perut kosong?


Naim Al-Kalantani

Ayat 'Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40' dikeluarkan oleh seorang pensyarah sebuah universiti awam ekoran seorang pelajarnya tidak mempunyai komputer riba sewaktu satu sesi pembelajaran dalam talian tular di media sosial sekitar Mac tahun lalu. – Tangkap layar, 15 April 2023.

FRASA “Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40” tular di media sosial sekitar Mac tahun lalu.

Ayat itu diluahkan oleh seorang profesor dari salah sebuah universiti di Malaysia dan mendapat kecaman para netizen.

Setahun sudah berlalu, kecaman itu bertukar menjadi meme gurauan di seantero media sosial. Apa yang menarik, daripada kecaman, ia bertukar menjadi ayat keramat yang mengabsahkan teori profesor tersebut.

Tahun lalu, saya pernah bersemuka dengan seorang tenaga pengajar yang melanjutkan pengajian di sebuah universiti terkemuka di dunia dan mempunyai ijazah kedoktoran.

Ketika bersembang-sembang, terbuka isu yang diutarakan oleh profesor tadi. Rupa-rupanya 180 darjah fikiran saya berubah.

Kata-kata profesor itu mempunyai kebenaran. Secara amnya, beritahu saya bagaimana seseorang yang miskin mahu memikirkan perkara lain selain makan?

Dalam kehidupan orang miskin, seseorang itu hanya memikirkan apa yang mereka mahu makan hari ini, mahu makan esok dan seterusnya.

Mereka celik mata, dan memikirkan bagaimana mahu menyara anak bini dan diri sendiri agar hari itu mereka dapat meneruskan hidup.

Mereka tiada masa untuk memikirkan apa yang terjadi di sekitar mereka, contohnya siapa ahli politik yang paling banyak hadir ke Parlimen?

Apa keluaran kereta tempatan terbaru? Hari raya tahun ini jatuh hari Jumaat atau Sabtu? Apa fenomena Project High Council dan artisnya yang jadi duta kepada jenama baju Melayu?

Apa yang mereka fikir adalah perut mereka perlu diisi dengan makanan.

Keadaan yang miskin itu sendiri dapat mempengaruhi kemampuan seseorang untuk memenuhi keperluan dasar dan meningkatkan kualiti hidup.

Hierarki Keperluan Maslow menyatakan bahawa keperluan asas bagi seseorang yang terbesar (terbawah) ialah keperluan fisiologi iaitu makanan, minuman, kesihatan, udara dan tidur.

Kalau keperluan asas ini masih tidak beres lagi, anda rasa adakah rakyat miskin ada masa untuk memikirkan apa yang saya nyatakan di atas tadi?

Dek kerana itulah teori oleh profesor itu agak tepat jika kita lihat dari sudut ini. Profesor itu meminta pelajarnya untuk menggadaikan gelang emas kakaknya untuk membeli komputer riba.

Ini kerana profesor itu sedar bahawa keperluan ketika itu adalah sebuah komputer riba untuk pelajarnya belajar.

Mungkin nada dan cara ucap profesor itu ada biadab dan lantang, tetapi dia ada hujah yang tepat kalau dilihat dari satu sisi yang lain.

Keperluan pelajar itu pula mungkin ketika itu bukan sebuah komputer riba, tapi hal yang mungkin termasuk dalam keperluan fisiologi tadi. Mungkin pelajar itu memikirkan apa yang dia perlu buat untuk dapat makanan hari tersebut.

Ketika itu dia takkan memikirkan hal komputer riba dan pembelajaran. Sebab itulah profesor itu mengeluarkan satu ayat seperti menghina golongan B40 dan menjadi tular sehingga hari ini.

Ketika berbual dengan doktor tadi, beliau menyebut bagaimana seseorang mahu memikirkan hal lain jika perut lapar? Barulah saya tahu ketika itu, hampir setiap pemikir di dunia ini sebenarnya tiada yang miskin.

Kalau lihat ahli falsafah yang pernah ada, hampir semuanya datang dari ahli keluarga, atau diri sendiri yang kaya, atau pun lahir miskin kemudiannya menjadi kaya-raya, atau kaya dulu lepas itu baru miskin atas kehendaknya.

Dulu, saya juga beranggapan ahli falsafah seorang yang miskin. Rupanya tidak. Ahli falsafah semuanya hidup senang, sekurang-kurangnya setiap hari boleh makan.

Walaupun ahli falsafah Jerman abad ke-18 Immanuel Kant, yang terkenal dengan karyanya Kritik der reinen Vernunft seorang yang dikatakan miskin, tetapi beliau seorang guru.

Friedrich Nietzsche dengan karya agung Also sprach Zarathustra menghabiskan sebahagian besar hidupnya sebagai petualang yang tidak berduit dengan ketidakstabilan dari segi kewangan. Barang diingatkan, dia berasal daripada keluarga yang kaya.

Jean-Jacques Rousseau dibesarkan oleh ibunya dengan gaya kelas atasan di Geneva.

Sebut sahaja ahli falsafah lain. Contohnya ahli falsafah yang pernah berceramah dalam tab mandi, Slavoj Žižek.

Cuba bayangkan Žižek bukan dalam golongan kaya, adakah dia dapat buat dua kali ijazah kedoktoran?

Tidak terkecuali ahli falsafah Islam. Contohnya Ar-Razi, pun pekerjaan asalnya ialah pandai emas dan pernah menjadi pengarah sebuah hospital.

Kita beralih di Malaysia, anda fikir Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas itu datang dari keluarga yang macam mana?

Ayahnya seorang bangsawan, keturunan berada. Disebabkan itu beliau dapat membeli (dan membaca) manuskrip sejak remaja.

Bagi para pemikir ini, makanan bukan masalah bagi mereka dan mereka sudah tidak memikirkan “hari ini nak makan apa”.

Kerana itulah ahli falsafah boleh memikirkan hal-hal lain sehingga memikirkan kewujudan tuhan.

Mereka juga memikirkan orang lain, gaya hidup, falsafah hidup, kesihatan, ekonomi dan hal-hal lain yang kadang-kadang bukan masalah bagi mereka.

Dalam contoh lain, mereka boleh membahaskan isu kemiskinan walhal ada dalam kalangan mereka yang tidak pernah merasainya.

Mereka semua ini dapat memikirkan orang lain kerana keperluan asas yang terbawah mengikut Hierarki Keperluan Maslow tadi sudah beres. Jadi, tugas mereka sekarang ialah untuk menyelesaikan hal-hal yang di atas.

Masalah yang berlaku dalam dunia ini, kebanyakannya memang difikirkan oleh orang kaya. Duit dan makanan bukan masalah bagi mereka. Yang bermasalah ialah hal-hal lain yang masih tidak beres dalam dunia ini.

Jadi, pandangan profesor yang biadab tahun lalu, ada betulnya.

Kalau mainkan balik video tersebut, profesor itu kata: “Pasal itu aku tak boleh duduk dengan orang B40 ya! Dia lebih memikirkan pasal lain daripada pembelajaran.”

Seorang pelajar sepatutnya perlu memikirkan keperluan pengajian mereka, tetapi masih tidak beres.

Maksudnya pelajar itu masih ada keperluan lain yang difikirkannya – dan saya mengandaikan, ia adalah berupa keperluan paling asas – makanan dan minuman.

Dan, mahu tidak mahu, jika anda mahu menjadi seorang pemikir, langkah pertama, anda perlu kaya dahulu.

Kekayaan memudahkan anda mencapai semua benda yang ada dan menjadi seorang pemikir dan kelak dapat berbakti kepada orang lain.

Bagaimana anda mahu menjadi pemikir jika perut kosong? – 15 April 2023. 

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen