PANDEMIK Covid-19 menambah cabaran sedia ada yang dihadapi oleh organisasi dan mendedahkan mereka kepada sumber risiko baharu.
Menurut kajian bersama dilakukan Deloitte Southeast Asia (Deloitte) dan Nanyang Technological University (NTU) Singapura, ia juga mempengaruhi proses audit luaran merentas empat tema iaitu jangkaan pihak berkepentingan, kecekapan audit, penggunaan teknologi, bakat dan kemahiran,
Deloitte dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata persekitaran yang kompleks dan tidak menentu hari ini, audit memainkan peranan yang semakin penting dalam meningkatkan ketelusan merentas dan antara pihak berkepentingan untuk membawa integriti dan kepercayaan kepada ekosistem pelaporan kewangan.
Masa depan audit mungkin melibatkan pengembangan skop pelaporan kewangan, katanya.
Sementara itu pendekatan tradisional kepada pelaporan kewangan yang memberikan pandangan sejarah mengenai maklumat kewangan masih penting dan pihak berkepentingan akan mengharapkan lebih banyak daripada audit kewangan.
“Selain memaklumkan dan memberi jaminan kepada pihak berkepentingan, audit kewangan juga mesti meluaskan skop mereka kepada bidang kepentingan awam yang lebih luas seperti budaya korporat, amalan kemampanan, piawaian etika dan risiko siber,” katanya.
Apabila jangkaan tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) pihak berkepentingan menjadi lebih jelas, organisasi perlu meningkatkan tahap komunikasi dan ketelusan mereka dalam pelaporan ESG mereka.
“Untuk tujuan ini, usaha penting sedang dijalankan untuk mempromosikan rangka kerja yang lebih komprehensif dan seragam bagi prestasi kemampanan korporat seperti cadangan untuk Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) baharu yang akan bertanggungjawab menetapkan Piawaian Kelestarian bagi Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS).
“Selain meningkatkan pengetahuan teknikal mereka tentang piawaian ESG terkini dan evolusinya, juruaudit juga perlu membangunkan keupayaan antara disiplin untuk memahami kesan matlamat ESG terhadap penyata kewangan dan pendedahan,” kata Deloitte.
Untuk kecekapan audit, peningkatan penggunaan audit secara ‘remote’ (jarak jauh) dan merentas sempadan memberikan beberapa peluang peningkatan kecekapan untuk juruaudit.
“Mereka harus memikir dan mengkaji semula proses mereka seperti penggunaan teknologi berasaskan teknologi awan untuk mendapat manfaat daripada kepakaran kos efektif serta mencapai kecekapan dan skala ekonomi dalam hasil mereka.
“Untuk mempercepatkan transformasi digital dan kognisi proses audit, juruaudit perlu melabur dalam pembelajaran berterusan mereka sendiri dan membangunkan buku panduan yang akan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.
Mengenai bakat dan kemahiran, Deloitte berkata kemunculan kecerdasan buatan juga memberikan tumpuan kepada daya maju jangka panjang terhadap kebanyakan profesion termasuk audit.
“Pemikiran dan pertimbangan kritis akan menjadi kemahiran yang semakin penting untuk juruaudit masa depan kerana pihak berkepentingan tidak lagi hanya berminat dengan kepakaran teknikal juruaudit sahaja, tetapi juga keupayaan mereka untuk membuat pertimbangan yang sesuai dalam situasi yang rumit,” katanya. – Bernama, 14 April 2023.
Komen