SEKURANG-KURANGNYA empat orang terbunuh dalam kejadian tembakan di selatan Thailand pada Sabtu, kata polis, dengan media tempatan melaporkan mereka masih memburu suspek.
Serangan bermula kira-kira 5 petang (1100 GMT), di daerah Khiri Rat Nikhom di wilayah Surat Thani—kira-kira 600km di selatan ibu negara Bangkok.
“Empat orang maut,” kata ketua polis tempatan Kriangkrai Kraikaew kepada AFP tetapi enggan memberikan butiran lanjut.
Tembakan berlaku berhampiran rumah bekas ketua kampung, lapor media tempatan.
Thailand mempunyai kadar pemilikan senjata api yang tinggi dan terdapat insiden ganas yang berterusan sejak 12 bulan lalu, termasuk satu serangan berdarah paling buruk dalam sejarah baru-baru ini.
Thailand dikejutkan dengan kejadian pada Oktober selepas seorang bekas sarjan polis membunuh 36 orang, 24 daripadanya kanak-kanak, di timur laut wilayah Nong Bua Lam Phu.
Dan bulan lalu, tiga orang maut dan tiga lagi cedera dalam kejadian tembakan di wilayah Phetchaburi, yang berakhir selepas tempoh 15 jam. – AFP, 9 April, 2023.
Komen