KETUA Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand Zulkifli Zainal Abidin mahu penduduk tempatan di selatan Thailand turut mengikuti perkembangan terkini rundingan dan menyokong inisiatif damai itu.
Beliau mahu penduduk tempatan memahami proses rundingan damai antara pihak kerajaan Thailand dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik dan mewujudkan keamanan di selatan Thailand.
Beliau juga berharap ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam tempatan memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat terkini dan tepat serta memberi penjelasan berhubung rundingan damai kepada penduduk tempatan.
“Dengan penjelasan dan maklumat terkini, saya berharap pemimpin dan penduduk tempatan memberi sokongan kepada rundingan damai ini,” katanya.
Zulkilfi yang kini dalam rangka lawatan kerja empat hari ke selatan Thailand bermula Selasa mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan penduduk tempatan untuk memberi penjelasan berhubung proses Dialog Damai Selatan Thailand yang kini memasuki tahun ke-10.
Ini merupakan lawatan kerja pertama Zulkifli ke selatan Thailand selepas dilantik sebagai ketua fasilitator kerajaan Malaysia pada 1 Januari tahun ini.
“Lawatan ini bertujuan untuk mendengar cadangan dan pandangan dari penduduk tempatan dan pihak berkepentingan selain membina pemahaman dan kepercayaan untuk memudah cara rundingan,” katanya.
Malaysia merupakan fasilitator bagi proses rundingan damai dalam menamatkan konflik di wilayah bergolak di selatan Thailand - Pattani, Yala, Narathiwat dan beberapa daerah di Songkhla.
Pada Rabu, Zulkilfi mengadakan perjumpaan dengan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Waederamae Matmingchik di Pattani dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat Safie Chelah.
Beliau juga meluangkan masa melawat Masjid Wadil Al Hussein yang juga dikenali sebagai Masjid Teluk Manok di Narathiwat. – Bernama, 2 Mac 2023.
Komen