Pakar saran Putrajaya rancang ekonomi bukan berasaskan petroleum


Noel Achariam

Mengikut pengiraan Indeks Hayat Rizab setakat 1 Januari 2022 rizab petroleum yang mungkin dan terbukti Malaysia adalah bersamaan dengan jumlah 6.9 bilion tong minyak. – Gambar Facebook, 5 April, 2023.

PUTRAJAYA perlu merancang ekonomi bukan berasaskan petroleum untuk hasil masa depan kerana negara mungkin kehabisan rizab minyak dan gasnya beberapa tahun akan datang, kata pakar ekonomi.

Bagaimanapun, mereka berkata ekonomi negara tidak akan terjejas dalam jangka masa panjang kerana Malaysia mempunyai segmen pendapatan lain.

Ahli ekonomi juga percaya penting untuk kerajaan melabur dalam teknologi, bukan sahaja dalam minyak dan gas, tetapi bidang industri lain.

Felo Kewangan Universiti Cambridge Dr Lim Kim-Hwa berkata pengumuman mengenai rizab minyak dan gas tidak akan menjejaskan ekonomi Malaysia kerana negara tidak didominasi industri itu tetapi segmen ekonomi yang lain.

“Minyak dan gas adalah satu daripada bahagian penting tetapi bukan satu-satunya. Contohnya lihat Arab Saudi yang merupakan pengeluar utama dalam minyak dan gas dan mereka cuba beralih untuk usaha lain. Malaysia juga perlu memikirkannya.

“Minyak dan gas adalah satu elemen, tetapi tenaga buruh negara juga berbakat dalam aspek lain. Jadi, ada keperluan untuk berkembang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata rizab petroleum sumber minyak dan gas di negara ini hanya mampu bertahan selama 15 tahun lagi.

Beliau berkata mengikut pengiraan Indeks Hayat Rizab setakat 1 Januari 2022 rizab petroleum yang mungkin dan terbukti Malaysia adalah bersamaan dengan jumlah 6.9 bilion tong minyak.

Bagaimanapun, Azalina berkata keadaan itu boleh diperbaiki jika terdapat teknologi dan pelaburan lebih baik, yang boleh dipertingkatkan bagi menaikkan rizab dalam tempoh 40 tahun.

Lim berkata Malaysia bukan sahaja pengeluar minyak dan gas tetapi terdapat sektor perkhidmatan penting lain seperti pembuatan, pelancongan dan industri lain yang turut menyumbang kepada pendapatan negara.

“Kita tidak boleh terus melakukan perkara sama (pengeluaran yang sama) tetapi menaik taraf pengeluaran bahan mentah.

“Ia adalah mengenai penggunaan model nilai tambah yang mampan dan melihat sumber alternatif petroleum.”

Beliau juga bersetuju dengan Azalina dari segi penggunaan teknologi yang lebih baik (untuk pengeluaran minyak). – 5 April, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen