Rizab petroleum hanya boleh bertahan 15 tahun, kata Azalina


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said berkata rizab petroleum untuk sumber minyak dan gas di negara ini hanya boleh bertahan selama 15 tahun lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2023.

RIZAB petroleum untuk sumber minyak dan gas di negara ini hanya boleh bertahan selama 15 tahun lagi, kata Azalina Othman Said.

Dalam jawapan bertulis Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata mengikut pengiraan Indeks Hayat Rizab setakat 1 Januari 2022 rizab petroleum yang mungkin dan terbukti Malaysia adalah bersamaan dengan jumlah 6.9 bilion tong minyak.

Beliau bagaimanapun berkata keadaan itu boleh diperbaiki sekiranya terdapat teknologi dan pelaburan yang lebih baik.

“Keadaan ini boleh dioptimumkan (dan dipanjangkan) sehingga lebih 40 tahun dengan pelaburan modal yang tinggi, teknologi baharu serta landskap pelaburan yang lebih stabil dan berdaya saing.

“Daripada keseluruhan medan minyak dan gas di semenanjung, Sabah dan Sarawak, 70 peratus dianugerahkan kepada syarikat untuk penerokaan dan pembangunan,” kata ahli Parlimen Pengerang itu.

Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar-BN).

Azalina juga berkata kajian dan pengumpulan data sedang dijalankan ke atas blok yang belum diterokai untuk ditawarkan dalam Pusingan Bidaan Malaysia (MBR) akan datang.

Sementara itu beliau juga berkata bahawa Petronas sedang membangunkan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di atas tanah seluas 2,551 hektar meliputi loji penapisan minyak dengan kapasiti 300,000 tong sehari, loji petrokimia dengan kapasiti 3.6 juta tan setahun, loji penjanaan bersama, terminal pengegasan semula serta tangki simpanan minyak mentah dan produk petroleum.

“Pelaburan Petronas dalam pembangunan PIC termasuk PRefChem yang merupakan syarikat penapisan minyak dan loji petrokimia usaha sama dengan Saudi Aramco berjumlah RM109.6 bilion,” tambahnya. – 29 Mac, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen