MALAYSIA mencadangkan kepada Unesco untuk menyenaraikan kebaya sebagai warisan bukan benda atau tidak ketara dunia dalam pencalonan yang dikemukakan bersama empat lagi negara rantau Asia Tenggara.
Empat negara itu ialah Brunei, Indonesia, Singapura, dan Thailand.
Usul lima negara Asean itu mengemukakan kebaya sebagai sebuah pengetahuan, kemahiran, tradisi, dan amalan, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam satu kenyataan.
“Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand telah mengemukakan pencalonan secara bersama bagi kebaya ke Unesco kerana ia mewakili dan meraikan kekayaan warisan sejarah, menggalakkan persefahaman silang budaya dan pemakaiannya masih aktif diamalkan oleh komuniti di rantau Asia Tenggara,” kata kenyataan itu.
Pencalonan itu dikemukakan hasil siri mesyuarat lima negara sejak awal tahun lepas, termasuk bengkel yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan pada November 2022 diikuti bengkel lanjutan di Jakarta pada Februari lepas.
Satu bengkel susulan diadakan pula di Singapura pada bulan lepas untuk memuktamadkan borang pencalonan ke Unesco.
Menurut kementerian, kebaya adalah pakaian yang melambangkan warisan budaya dan identiti orang Melayu, Peranakan dan masyarakat lain di Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara.
“Kebaya menepati definisi elemen warisan kebudayaan tidak ketara kerana ia melibatkan kemahiran tenunan tradisional seperti sulaman dan teknik jahitan untuk menghasilkan pakaian wanita tradisional ini,” kata kenyataan itu.
Kebaya juga ada berkait rapat dengan warisan budaya lain misalnya majlis perayaan dan perkahwinan.
Pencalonan sebagai warisan Unesco bertujuan supaya kebaya dilindungi melalui penyebaran pengetahuan, promosi, dokumentasi dan penyelidikan melibatkan kelima-lima negara, kata kenyataan itu.
“Kebaya memberikan kita satu peluang untuk mempromosi dan meraikan warisan kebudayaan yang ditemui di serata rantau Asia Tenggara,” kata kementerian.
Keputusan pencalonan ini akan dimuktamadkan pada mesyuarat jawatankuasa Unesco pada tahun depan. – 4 April, 2023.
Komen