KEMBOJA pada Rabu menganjurkan acara sempena ulang tahun ke-30 inskripsi Taman Arkeologi Angkor dalam senarai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), lapor Xinhua.
Bercakap kepada ratusan peserta pada majlis “Angkor Thanksgiving” yang dirancang berlangsung tiga hari, Timbalan Perdana Menteri Men Sam An berkata selepas 30 tahun inskripsi pada 14 Disember 1992, Taman Arkeologi Angkor terus dilindungi, dipelihara dan dibangunkan dengan baik dan menjadi antara destinasi pelancongan paling popular di rantau ini.
“Kini lawatan ke Angkor kembali normal hasil keamanan dan kestabilan politik serta kejayaan kerajaan mengawal wabak Covid-19.
“Acara ini bertujuan mempromosi potensi budaya dan pelancongan kami kepada dunia,” katanya.
Menteri Kebudayaan dan Seni Halus Phoeurng Sackona berkata perayaan itu akan memberi peluang kepada orang ramai untuk melawat dan mempelajari kerja-kerja perlindungan, pemuliharaan dan pembangunan Angkor.
“Ini merupakan mesej kepada rakan senegara untuk bersama-sama menjaga dan memelihara Angkor dan warisan negara yang lain untuk kepentingan bersama,” katanya.
Menurut penganjur acara Pihak Berkuasa Kebangsaan APSARA (ANA), sepanjang tiga hari, pengunjung berpeluang menikmati persembahan seni dan filem percuma di beberapa kuil terpilih.
Selain itu, lawatan percuma ke beberapa tapak dan muzium juga disediakan bagi membolehkan pengunjung mengetahui lebih lanjut mengenai kerja pemuliharaan dan pembangunan Angkor.
Terletak di wilayah Siem Reap di barat laut Kemboja, Taman Arkeologi Angkor seluas 401 kilometer persegi itu adalah destinasi pelancongan paling popular di Asia Tenggara.
Sebelum pandemik Covid-19, tapak purba itu menarik sehingga 2.2 juta pelancong antarabangsa pada 2019, menjana pendapatan kasar AS$99 juta daripada jualan tiket, menurut Angkor Enterprise milik kerajaan.
Dari Januari hingga November 2022, tapak itu menerima lebih 225,000 pelancong asing, memperoleh pendapatan AS$9 juta, menurut Angkor Enterprise. – Bernama, 14 Disember, 2022.
Komen