Trump akan didakwa


Hishamuddin Rais

TRUMP akan didakwa pada Selasa (4 April) di Mahkamah New York. Ini induk berita semua akhbar di Amerika Syarikat (AS). Media cetak dan elektronik seluruh dunia heboh dengan berita ini.

Kita di Malaysia heboh membaca berita ini pada hari April Fool, 1 April. Tapi ini bukan berita lawak April Fool. Ini berita sahih.

Pejabat New York Police Department (NYPD) telah menghubungi peguam Trump untuk menyampaikan berita ini. Peguam telah menyampaikan berita ini kepada Trump di Mar-a-Lago, tempat kediaman rasmi Trump di Florida.

Berita bekas presiden AS ke-45 akan didakwa memeranjatkan warga Amerika. Malah warga dunia juga sama terperanjat.

Tidak pernah dalam 200 tahun sejarah Amerika seorang bekas presiden didakwa dengan kes jenayah.

They only brought this fake, corrupt, and disgraceful charge against me because I stand with the American people, and they know that I cannot get a fair trial in New York! (Mereka membuat tuduhan palsu dan memalukan terhadap saya kerana saya bersama rakyat Amerika, mereka tahu saya tidak akan mendapat keadilan di mahkamah New York!)” kata Trump pada petang Khamis. Ini petikan laporan akhbar The Guardian pada Sabtu.

Siapa mereka yang dimaksudkan oleh Trump ini? Apa di belakang dakwaan ini?

Trump akan dihadapkan dengan beberapa tuduhan jenayah – satu tuduhan sivil, tuduhan yang bersangkutan dengan dirinya dan perniagaannya.

Trump juga akan didakwa mengambil beberapa surat rasmi kerajaan yang berstatus rahsia dan membawa pulang ke Mar-a-Lago.

Untuk sensasi media, Trump juga akan didakwa gagal melaporkan akaun tepat semasa kempen 2016. Kes duit tutup mulut sebanyak AS$130,000 dolar telah dibayar oleh Trump kepada Stormy Daniels melalui peguam bekas presiden itu.

Puan Daniels ini wanita cun lagi bergetah, dikatakan telah mengadakan hubungan sulit dengan Trump. Mengadakan hubungan sulit bukan satu kesalahan. Ini bukan satu jenayah.

Yang menjadi isu ialah Si Minah Stormy Daniels yang cun ini pelakon filem lucah.

Bila nama Trump naik untuk menjadi calon Parti Republikan media Amerika telah mencium hubungan Trump dengan Minah ini. Media anti-Trump mahu mencari Daniels.

Babak Trump melanggan pelacur ini ingin dijadikan berita sensasi untuk memburukkan nama Trump agar kalah untuk jadi presiden Amerika.

Maka duit AS$130,000 bertukar tangan. Minah cun ini dibayar agar menutup mulut jangan bercakap dengan media.

Dari segi fakta, tuduhan jenayah yang dilakukan oleh Trump ini juga pernah dilakukan oleh musuh politik Trump. Melanggan atau mengadakan hubungan sulit dengan perempuan selain daripada isteri bukan satu yang baru di Amerika.

Satu Amerika dan dunia tahu John F Kennedy melanggan bintang filem Marilyn Monroe sebagai gundik.

Jadi apa yang berlainan?

Trump menjadi sasaran kerana cakap Trump dan suara Trump yang penuh retorik. Trump secara terbuka berani menolak Kesepakatan Washington.

Apa dia Kesepakatan Washington ini?

Washington sama ada bawah Demokrat atau Republikan semua bersepakat mengamal dasar ekonomi neo-liberal pasaran bebas dan perniagaan bebas. Pasaran bebas kapitalis adalah ideologi dan dasar induk Washington untuk mengawal dunia yang ditakrif sebagai empayar Amerika.

Trump secara berani memperlekeh ideologi yang menjadi teras Amerika. Trump telah memberi galakan kepada penyokong untuk mempertikai sistem dua parti politik Amerika.

Budaya dan sistem dua parti politik ini adalah kunci sistem politik Amerika. Trump memperlekeh sistem ini. Ini belum pernah berlaku.

Rakyat Amerika dan rakyat dunia tahu bahawa sistem dua parti ini adalah sistem lawak lagi komedi. Tidak ada perbezaan hakiki yang membezakan sistem politik dua parti.

Ini hujah kaum intelektual, kaum kiri dan golongan progresif yang melihat dengan jelas dan kritikal terhadap sistem dua parti politik ini.

Sistem pemilihan presiden di Amerika ini sama seperti memilih Coca-Cola atau Pepsi. Trump mengabsah dan memporak perandakan kewujudan sistem yang selama ini mengkhayalkan warga Amerika.

Trump telah menaikkan semangat penyokongnya untuk menyerang segala jentera dan kaki tangan daulah bila mengisytiharkan Presiden Joe Biden menang pada 2020 dengan undi tipu.

Ketika menjadi presiden, Trump secara terbuka menyelar stesen televisyen CNN sebagai stesen menipu. Juga memperlekeh media arus perdana yang lain sebagai sampah.  

Cakap kasar dari mulut Trump ini menakutkan elit politik dan elit ekonomi Amerika. Elit dan kelas pemerintah melihat Trump telah berjaya menaikkan semangat satu kumpulan masyarakat Amerika yang dipanggil oleh Hillary Clinton sebagai ‘deplorables’ atau Mat Lekeh.

Kumpulan Mat Lekeh amat besar. Mereka terdiri dari penganut Kristian berkulit putih, kelas pekerja yang tercicir dan tenggelam dalam  arus ekonomi kapitalis.

Rata-rata mereka tidak puas hati terhadap Rumah Putih .

Trump dalam kempen 2016 berkata yang dia akan membersihkan sampah dan bangkai yang bersepah-sepah di Washington. Trump berjanji akan “clean up the swamp in Washington”. Limbah Washington akan dibersihkan.

Trump secara jujur mempertikaikan kenapa perlu soldadu Amerika berada di Afghanistan. Trump juga tidak menyokong langkah Biden untuk membantu Ukraine yang kini berperang dengan Rusia.  

Malah Trump telah berkata jika dia menjadi presiden maka dia akan menamatkan perang Ukraine.

Dasar Trump yang tidak bersetuju menyokong Ukraine mendorong media arus perdana Amerika melabelkannya sebagai tali barut Rusia dan penjilat Vladimir Putin.

Paling memeranjatkan, ketika menjadi presiden Trump telah mempersoalkan Nato. Trump melihat bahawa Nato ini membazir dan mahu negara anggota Nato seperti Jerman dan Perancis mengeluarkan dana yang lebih untuk menampung belanjawan Nato.

Kenyataan Trump ini menakutkan elit politik dan industri senjata. Nato selama ini adalah benteng imperialisme Amerika. Perjanjian persenjataan 30 buah negara Nato dari Amerika Utara dan Eropah adalah asas sistem ekonomi perniagaan bebas yang menjadi nafas kapitalisme.

Bala tentera Amerika berselirat dalam dunia ada atas nama Nato. Bala tentera ini wujud untuk mempertahankan sistem kapitalisme perniagaan bebas dari serangan sistem sosialis dan komunis.

Bila Trump mempersoalkan wujudiah Nato, walaupun hanya retorik – ini menakutkan. Kesepakatan Washington menjadi huru-hara.

Justeru elit politik, elit ekonomi, pemilik media, pemilik media sosial, industri senjata bersama dengan deep state (daulah terpendam) telah dan sedang merancang untuk memastikan Trump tidak akan menjadi calon presiden parti Republikan pada pemilihan presiden 2024.

Jika Trump bertanding dan menentang Joe Biden, jawapannya amat jelas. Biden akan kalah teruk.

Untuk elit politik dan elit ekonomi – jika calon Republikan menang pada 2024 akan diterima dengan tangan terbuka dan bersuykur. Asalkan bukan Trump.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah suara Trump ini adalah suara rakyat tertindas. Para penyokong Trump yang datang menyerang bangunan Capitol pada Rabu 6 Januari 2021 adalah manifestasi daripada kempen Maga (Make America Great Again).

Kempen Maga menyengat.

Kumpulan dan rakyat Amerika yang menyokong Trump memiliki faham kanan. Mereka menentang pendatang haram yang cuba masuk ke Amerika. Mereka menolak hak wanita menggugurkan janin. Mereka menentang LGBT.

Penganut fahaman kanan ini melihat Trump sebagai wakil mereka. Mereka menganggap pemilihan Biden satu penipuan. Untuk pertama kalinya bekas seorang presiden Amerika mempertikaikan sistem pilihan raya presiden.

Penipuan dalam pilihan raya yang ditimbulkan oleh Trump ini menjadi perbualan nasional di Amerika. Ini dilihat oleh elit politik dan elit ekonomi sebagai bahaya.

Elit politik, elit ekonomi dan daulah terpendam tidak ada masalah menerima tindakan Trump memberi arahan membunuh pemimpin tentera Iran Major Jeneral Qasem Soleimani pada 3 Januari 2020.

Ini sama seperti tindakan Obama membunuh Anwar al-Awlaqi, seorang imam warga Amerika di Yaman dengan dron pada 30 September 2011.

Perbuatan jenayah antarabangsa Trump ini dialu-alukan. Jenayah seperti ini dilihat sebagai bersama dalam Kesepakatan Washington.

Di balai NYPD muka Trump akan dipotret sebagai penjenayah. Cap jari Trump jari akan diambil. Trump tidak akan digari kerana Trump bersetuju datang ke balai.

Dunia akan diberitahu lebih rinci tentang dakwaan dan bentuk kes jenayah. Perbicaraan mungkin dilambatkan agar Trump tidak bertanding. Bila perbicaraan akan bermula kita juga pasti akan mendengar banyak lagi komen dan kenyataan Trump yang akan menggoncang sistem politik Amerika.

Apakah projek menghalang Trump daripada menjadi calon Parti Republikan pada 2024 ini akan berjaya? Dari apa yang berlaku sekarang Trump sudah pun secara terbuka menawarkan diri untuk bertanding sekali lagi.

Daripada laporan media kita dapat membaca bahawa garis politik arus kanan Maga yang dilaungkan oleh Trump amat popular. Patriotisme ala Trump ini amat popular.

Pada masa sama arus politik kanan ini sedang mengampuh ke seluruh dunia. – 4 April 2023. 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen