DUN Kepayan: Berpecah pembangkang kalah


Awang Azman Awang Pawi

KEPAYAN merupakan sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di kawasan Parlimen Penampang, Sabah, sebuah kerusi di kawasan bandar. Hanya sekitar 10-12% pengundi Kepayan tinggal di pinggir bandar. Kerusi DUN ini menarik dikaji untuk melihat dinamika politik yang memperlihatkan bagaimana parti-parti politik yang tidak sepakat boleh kalah dalam pilihan raya.

Pada pilihan raya negeri Sabah 2004, MCA yang diwakili oleh Edward Khoo Keok Hai menang kerana pembangkang tidak sepakat. Bayangkanlah apabila berlaku pertandingan 8 penjuru, iaitu 3 calon bebas ikut bertanding melawan calon-calon PKR, Bersekutu, DAP, Pasok dan Barisan Nasional (BN).

BN yang diwakili calon MCA menang dengan memperoleh 5,472 undi. Namun, jumlah undi yang menolak calon MCA ialah sebanyak 6,022 undi.  Maknanya, jika pertandingan 2 penjuru, maka pembangkang boleh memperoleh majoriti tipis 550 undi. Seorang calon bebas mendapat lebih 2,000 undi manakala DAP hanya memperolehi sekitar seribu undi. Calon PKR peroleh hanya dapat tidak sampai 500 undi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2008 pula, BN menang lagi sekali, juga kerana ada pertandingan pelbagai penjuru. Perpecahan pembangkang ketara berlaku apabila DAP dan PKR bertembung sesama sendiri. Akibatnya, calon MCA memperoleh 6,162 undi manakala DAP 4,100 undi dan PKR 3,658 undi. 

Sekiranya PKR dan DAP berkompromi, maka sejumlah 7,758 boleh diperoleh dan ini bermakna boleh mendapat 1,596 undi majoriti. Pertembungan PKR dan DAP sebenarnya memalukan imej parti pembangkang yang gagal bersatu melawan BN. Kedua-dua parti ini seolah-olah hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan kepada parti dan gerakan pembangkang di negara ini.

Ini jadi pengajaran kepada DAP dan PKR apabila pada PRN 2013, sekurang-kurangnya DAP dan PKR tidak bertembung sesama mereka. Sebaliknya, mereka berkompromi untuk memastikan undi tidak banyak berpecah dan sama-sama berkempen melawan calon BN.

Usaha ini berjaya apabila calon DAP Dr Edwin Bosi berjaya menewaskan calon BN dari MCA, Edward Khoo Keok Hai yang telah menjadi Adun beberapa penggal di Kepayan.

DAP memperoleh 13,020 undi manakala Khoo hanya mampu memperoleh 5,733 undi. Chong Pit Fah dari Parti SAPP memperoleh undi sebanyak 2,030 manakala Philip Among dari parti Star Sabah pula dapat 720 undi.

Pergolakan DAP dan Implikasi 

Pilihan raya bagi kerusi DUN Kepayan kali ini sengit kerana Bosi telah keluar DAP selepas meletak jawatan sebagai timbalan pengerusi DAP Sabah dan ketua whip negeri. Beliau sebelum ini secara terbuka mengkritik kepimpinan parti negeri setelah tidak ada persefahaman dengan pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong. 

Sudah pasti ini tamparan hebat buat DAP di Sabah. Sebenarnya, Bosi adalah wakil rakyat ketiga yang meninggalkan DAP selepas pilihan raya 2013. Sebelum itu, bekas pengerusi negeri Hiew King Cheu (Luyang) keluar parti untuk menyertai MCA, manakala Junz Wong (Likas) kini bersama Parti Warisan Sabah. 

Wakil tunggal DAP di DUN Sabah ialah Chan Foong Hin (Sri Tanjung). Ini menimbulkan pertanyaan sekiranya DAP dikatakan benar-benar kuat, mengapakah ramai adun mereka sendiri ramai keluar parti? Adakah DAP Sabah kini dianggap sebagai parti tidak ada masa depan dan dianggap parti asing?

Keadaan ini pasti akan merumitkan lagi kempen pembangkang di Kepayan. Lebih-lebih lagi apabila Bosi sertai Parti Anak Negeri yang dipimpin oleh Henrynus Amin. Bosi dijangka akan bertanding di Kepayan atas tiket Parti Anak Negeri dan sudah pasti akan bertembung dengan DAP yang tidak akan melepaskan kawasan yang sudah dimenanginya sebelum ini. Jika ini berlaku, undi pembangkang akan lebih berpecah lagi.

Peluang BN Cerah

Perpecahan pembangkang di Kepayan akan memberi kelebihan kepada calon BN. Berdasarkan kaji selidik, populariti BN kini terletak pada Ketua MCA Bahagian Penampang, Francis Goh yang sudah berkhidmat kepada penduduk walaupun beliau bukan wakil rakyat.

Kepayan mempunyai 33,682 pengundi berdaftar setakat Disember 2017, dengan pecahan 49% etnik Cina, 33% bumiputera bukan Islam dan 15% bumiputera Islam. Dengan andaian sokongan undi Bumiputera bukan Islam ialah 45%, undi Bumiputera Islam 80% dan undi Cina 30%, peluang BN untuk menang lebih cerah. 

Francis Goh yang terlibat dalam dunia perniagaan dan syarikatnya banyak memberikan peluang kepada penduduk setempat dan negeri Sabah. Sekurang-kurang terdapat lebih 2,000 pekerja tempatan yang bekerja di bawahnya yang dijangka akan menyokongnya. Hal ini biasa juga berlaku dalam politik di Sarawak apabila pekerja-pekerja dari konglomerat besar seperti Rimbunan Hijau, KTS, dan Samling turut menyokong penglibatan ketua atau keluarga ketua mereka dalam pilihan raya.

Kepayan tidak terlibat dalam persempadanan semula. Pembangunan setempat perlu ditambah baik kerana Kepayan terletak di tepi lingkungan bandar besar Kota Kinabalu. Isu popular di Kepayan sama seperti kawasan-kawasan lain di Sabah, malah di seluruh Malaysia, iaitu kenaikan harga barangan keperluan yang sukar dikawal, termasuk minyak dan beban cukai GST. Isu 1MDB kurang ampuh berbanding isu kos sara hidup.

Namun, tidaklah mengejutkan sekiranya BN berpeluang menang dengan majoriti rendah akibat undi pembangkang terus berpecah pada kali ini. Lebih-lebih lagi, dalam sejarah politik Sabah pertandingan lebih dua penjuru sudah menjadi ciri unik politik negeri itu.

Kecualilah kemarahan pengundi masa kini sudah mencapai tahap tertinggi dan membuak-buak yang sukar dihalang gelombang tersebut. Namun ini bukanlah disebabkan oleh faktor parti politik itu sendiri! – 18 Mac, 2018.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen