CEP tidak keluar laporan menyeluruh, kata Jomo


Jomo Kwame Sundaram berkata semasa enganggotai CEP beliau cuba mendesak pembaharuan dasar kewangan khususnya mengenai percukaian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mac, 2023.

MAJLIS Penasihat Kerajaan (CEP) yang dibentuk oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad tidak mengeluarkan laporan menyeluruh, kata bekas anggotanya Jomo Kwame Sundaram.

Majlis penasihat yang diketuai bekas menteri kewangan Daim Zainuddin tidak berkoloborasi untuk itu dalam tempoh 100 hari yang diberikan oleh bekas perdana menteri, katanya.

“Satu laporan disediakan sekretariat di bawah bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin. Tetapi, tiada laporan mengenai keseluruhan CEP,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Pakar ekonomi itu berkata demikian pada satu forum dalam talian anjuran The Oxford and Cambridge Society Malaysia yang bersiaran di YouTube, malam tadi.

Beliau menjawab soalan penonton yang memintanya berkongsi inti pati laporan CEP yang diserah kepada Dr Mahathir selepas tamat mandat 100 hari. Laporan itu tidak pernah didedahkan kepada umum.

CEP dibentuk selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada Barisan Nasional susulan Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Majlis itu turut dianggotai bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas, Hassan Merican serta ahli perniagaan Robert Kuok.

Sepanjang 100 hari mandatnya, CEP bertemu dengan lebih 350 individu dari 200 pihak termasuk dari kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, untuk mendapatkan pandangan mengenai pelbagai perkara bagi ia menasihati Dr Mahathir.

Menurut Jomo, semasa menganggotai CEP beliau cuba mendesak pembaharuan dasar kewangan khususnya mengenai percukaian.

“Saya mencadangkan pembentukan pihak berkuasa cukai bersepadu, bukannya bersegmen. Ketua Kastam sangat terbuka terhadap cadangan pembaharuan ini.

“Malangnya, menteri (kewangan) ketika itu dan mungkin perdana menteri tidak pernah mempertimbangkan pembaharuan ini, sepanjang pengetahuan saya. Jadi, tiada perbincangan mengenainya,” katanya.

Jomo juga berkata beliau turut mencadangkan pembaharuan bagi sektor kesihatan terutama untuk meningkatkan pembiayaan kerajaan namun tidak nampak ada komitmen kerajaan ke arah itu.

Jomo berkata, beliau turut mendesak pembaharuan untuk meningkatkan pembiayaan bagi sektor kesihatan, tetapi tidak nampak sebarang komitmen menambah dana oleh kerajaan. – 28 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen