Reformasi DUN bukan sekadar tukar kulit


Fakhrurrazi Rashid

DUN Johor menggunakan istilah pengimbang untuk merujuk kepada Adun pembangkang di negeri itu.– Gambar Facebook, 28 Mac, 2023.

BARU-baru ini Dewan Negeri Johor menggunakan istilah pengimbang untuk merujuk kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di negeri itu.

Speaker DUN Johor Mohd Puad Zarkashi menjelaskan istilah pengimbang ini lebih ‘murni, tepat, komprehensif dan berpandangan jauh bagi membina Parlimen negeri yang berwibawa’.

Pertukaran istilah ini boleh dilihat untuk memurnikan hubungan kerajaan Johor diterajui Barisan Nasional (BN) dengan blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kalau ikut politik pusat, PH dan Muda Johor berada di blok kerajaan negeri sekarang. Adun Perikatan Nasional (PN) sepatutnya menuntut kerusi Ketua Pembangkang di DUN Johor meskipun jumlahnya hanya tiga orang.

Ironinya, Adun PN Johor hanya berdiam diri dalam perkara tersebut. Perkara ini tidak berlaku mengkin kerana semua pihak cuba menghormati keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang memberi laluan kepada Umno-BN mentadbir Johor selama lima tahun.

Sebenarnya DUN Johor melalui reformasi badan perundangan yang signifikan sejak 2018. Peranan ketua pembangkang di Johor diiktiraf buat pertama kali pada tahun 2018 dengan diberikan pejabat dan elaun khas untuk menjalankan tugasnya.

Hasil kerjasama dwipartisan antara kerajaan Johor pimpinan Hasni Mohammad dan pembangkang pada tahun 2020, kerajaan negeri  mengiktiraf pembangkang sebagai rakan strategik di DUN Johor dan membolehkan Adun pembangkang Johor menerima peruntukan kawasan.

Kerajaan Johor selepas PRN pada tahun 2022 pimpinan Onn Hafiz Ghazi turut menyaksikan pemerkasaan DUN Johor diteruskan dengan penubuhan jawatankuasa pilihan Pertambahan Impak Pengundi bagi mengkaji keseimbangan pengundi di Johor yang kian bertambah akibat pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik.

Perubahan kosong

DUN Johor akan menubuhkan jawatankuasa Perubahan Iklim dan Pengurusan Banjir untuk mencari solusi dan perancangan tuntas menoktahkan isu iklim dan bencana banjir yang kian merugikan rakyat negeri itu. Ini menunjukkan sisi keterbukaan kerajaan Johor menerima cadangan Adun PH dan Muda Johor bagi menubuhkan jawatankuasa tersebut pada awal penggal pembukaan sidang DUN Johor tahun lalu.

Perubahan ini lebih besar daripada perubahan istilah pembangkang yang dilihat kosong kerana tidak mengubah apa-apa kandungan klausa di dalam Peraturan-Peraturan Tetap DUN Johor. Bimbang juga pertukaran ini akan melemahkan lagi peranan pembangkang untuk masa hadapan.

Persepsi melihat pembangkang hanya ‘membangkang’ semata-mata sepatutnya diubah dengan penambahbaikkan yang betul. Untuk memastikan kualiti pembangkang ditambah baik, kerajaan negeri perlu menambah baik akses maklumat dan informasi dasar kepada Adun pembangkang. Fakta dan informasi yang tepat dapat membantu Adun pembangkang memberi idea dan teguran konstruktif kepada kerajaan negeri.

Namun perkara ini mustahil berlaku apabila terdapat kerajaan negeri sukar memberi maklumat mengenai sesuatu dasar secara terperinci kepada wakil rakyat. Lebih buruk lagi apabila laporan tahunan dan penyata kewangan agensi, anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah bidang kuasa negeri tidak dapat diakses secara atas talian di laman sesawang DUN itu sendiri.

Ada sebahagian DUN tidak mempunyai laman web rasmi. Kalau ada sekali pun, kebanyakannya berkenaan direktori Adun ala-ala buku ‘yellow pages’. Segala rekod pertanyaan dan jawaban DUN termasuk penyata rasmi (hansard) tidak disediakan secara terbuka di laman web.

Persoalan yang timbul dalam isu ini bukan sekadar tentang peranan pembangkang tetapi ia menunjukkan betapa lemahnya peranan badan perundangan negeri untuk memastikan Adun  menjalankan fungsi semak dan imbang. Tidak hairanlah jika terdapat ramai Adun berucap tanpa kualiti kerana limitiasi maklumat yang terhad di peringkat negeri.

Ironinya negeri-negeri di Malaysia begitu gelojoh meminta autonomi daripada kerajaan Persekutuan demi mendapatkan hak membangunkan ekonomi dan hasilnya sendiri. Tetapi dengan kelemahan DUN masing-masing, sejauh manakah rakyat boleh mendapat jaminan hasil negeri dapat diurus secara telus dan jujur?

Perlu jadi gudang besar bukan kedai runcit

Untuk menjadi negara berdaya saing dengan  tadbir urus yang baik, peranan badan perundangan negeri perlu diperkasakan. Peranan DUN tidak seharusnya dilihat sebagai ‘kedai runcit’ yang terhad perananannya. Parlimen negeri perlu menjadi ‘gudang besar’ yang melahirkan solusi, idea dan tempat membahaskan isu-isu semasa yang akhirnya menguntungkan rakyat.

Peranan pembangkang sebagai rakan strategik adalah satu mekanisme yang baik untuk mencambahkan idea pentabiran bijak dan matang. Apa yang lebih mustahak adalah kerajaan negeri perlu berani berhadapan kritikan politik dalam apa jua keadaan sekalipun.

Akses kepada maklumat berkaitan kerajaan negeri, khususnya laporan tahunan dan penyata kewangan harus dipermudahkan kepada orang awam. Tindakan ini bukan sekadar dapat membantu pembangkang membuat analisis berfakta tetapi turut membudayakan pemikiran berasakan maklumat yang tepat di dalam Parlimen negeri.

Setiap DUN di negeri perlu terbuka dalam membangunkan pasukan penyeldidik untuk menyokong peranan Adun dalam memahami selok-belok dasar negeri. Kaedah ini juga dapat menarik minat tenaga pakar, badan pemikir dan organisasi masyarakat menyumbang idea-idea ke arah membentuk dasar negeri yang inklusif.

Peraturan-Peraturan Tetap DUN wajar dikaji dan dipinda. Mana-mana peraturan yang tidak releven seperti klausa menghalang Adun mencelah bagi mendapatkan penjelasan dari kerajaan negeri. Apabila ruang secukupnya diberikan kepada Adun untuk membahaskan sesuatu isu, ia boleh menghindari isu-isu kecil yang tidak dapat dikenal pasti kerajaan negeri ketika menggubal undang-undang dan dasar.

Jika perubahan DUN benar-benar berlaku secara signifikan, pentadbiran negeri akan terus kukuh dan mampu mengatasi cabaran masa hadapan dari sudut ekonomi mahupun kestabilan politik. Jika tidak, pentadbiran negeri akan terus kaku dan rakyat akan terus-menerus mempersoalkan integriti politik dan pentadbiran negeri yang boleh menjadi punca perbuatan rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

Soalnya, apakah pemimpin dan pentadbiran negeri berani melakukan perubahan ini? Atau masih lagi mahu menekan Adun pembangkang untuk kekal berkuasa tanpa semak dan imbang? – 28 Mac, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen