Pekerja kebajikan sokong RUU lindungi warga emas diabai anak


Angie Tan

Ramai warga emas ditinggalkan di hospital selepas jatuh sakit, diabaikan anak-anak yang dibesarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2023.

PEKERJA sosial, rumah kebajikan dan rumah orang tua mengalu-alukan Rang Undang-Undang Warga Emas yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun hadapan.

RUU itu bertujuan menetapkan peruntukan tindakan perundangan dan penalti kepada individu dewasa yang enggan bertanggungjawab ke atas ibu bapa mereka yang sudah berusia.

Cadangan RUU itu bermatlamat menangani masalah yang semakin membimbangkan berkaitan pengabaian orang tua oleh anak-anak mereka.

Peter Tan, pengasas rumah kebajikan P Syukur Penyayang Pulau Pinang berkata undang-undang itu menyasarkan anak-anak yang “menipu” orang tua mereka.

“Ada ibu bapa yang menyerahkan perniagaan mereka kepada anak-anak dengan harapan mereka akan dijaga pada usia tua,” katanya.

“Tetapi anak-anak tersebut tidak menjaga atau mempedulikan mereka selepas mewarisi perniagaan itu. Ini yang kerap kami dengar daripada penghuni di rumah kebajikan kami.

“Anak-anak yang tak sedar diuntun ini yang perlu dihukum. Mereka perlu dikenakan tindakan undang-undang yang mengikat mereka untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah berusia.”

Peter berkata undang-undang tersebut juga perlu memberi hukuman khidmat masyarakat kepada anak-anak yang terlibat.

“Jangan denda mereka. Arahkan mereka berkhidmat dengan badan kebajikan dan rumah orang-orang tua. Biar mereka jaga orang tua seperti memandikan mereka.”

Tambahnya lagi, ada juga ibu bapa yang ditinggalkan di hospital selepas jatuh sakit.

“Kami jumpa banyak kes. Jabatan Kebajikan selalu telefon tanya jika kami boleh ambil orang tua yang diabaikan ini.”

Semakin ramai warga emas yang diabaikan anak-anak mereka yang memberi tekanan kepada rumah kebajikan bukan berasaskan keuntungan untuk memberikan penjagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2023.

Peter berkata sangat menyedihkan melihatkan situasi anak-anak mengabaikan ibu bapa yang membesarkan mereka.

Ia sesuatu yang tidak boleh diterima, tegasnya.

Tan Hiang Hock yang sudah 20 tahun menjadi pekerja sosial berkata, alasan yang biasa diberikan anak-anak untuk mengabaikan ibu bapa mereka adalah beban kewangan dan kekangan masa.

Semua ini tidak boleh diterima, katanya.

“Pendek kata, anak-anak memang tak nak habiskan duit untuk ibu bapa mereka.”

Tan berkata yang semakin ramai orang tua yang diabaikan tahun demi tahun dan rumah kebajikan mempunyai kapasiti terhad.

“Mereka rumah kebajikan tidak berasaskan keuntungan dan mereka utamakan warga emas yang bujang. Kapasiti mereka terhad.”

Tambahnya lagi, beliau menerima sekitar 25 panggilan telefon meminta bantuan setiap bulan. – 26 Mac, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen