Pengganas IS dakwa bertanggungjawab serangan terbaru di London


Van putih yang digunakan dalam serangan di London Bridge pada malam Sabtu dilihat dimasukkan ke dalam satu lagi van polis ketika pegawai forensik melakukan siasatan di jambatan terkenal dunia itu. – Gambar AFP, 5 Jun, 2017.

KUMPULAN IS mendakwa bertanggungjawab atas serangan dilakukan tiga lelaki yang melanggar pejalan kaki dan menyerang menggunakan pisau di London semalam, menyebabkan tujuh terbunuh, sebelum ditembak mati oleh polis.

Kejadian amuk malam Sabtu di kawasan kelab malam popular di London Bridge itu ialah serangan maut ketiga di Britain dalam tempoh kurang tiga bulan, dan hanya beberapa hari sebelum pilihan raya umum negara itu.

“Satu kumpulan pejuang IS melaksanakan serangan London semalam,” menurut agensi berita Aamaq, yang ada kaitan dengan kumpulan IS.

Perdana Menteri Britain Theresa May menyalahkan “ideologi jahat” Islam dan berjanji mengambil tindakan keras terhadap kandungan ekstremis di Internet seluruh negara, dan polis setakat ini menahan 11 individu susulan dua serbuan di timur London.

Kempen politik yang berjalan di seluruh negara untuk pilihan raya umum dijadualkan pada Khamis ditangguhkan sehari sebagai menghormati mangsa, termasuk 48 orang yang masih dirawat kerana kecederaan di hospital. Daripada jumlah itu, 21 masih dalam keadaan kritikal.

Tetapi May berkata pilihan raya pada Khamis nanti akan tetap diteruskan.

Seorang warga Kanada dan Perancis antara yang maut manakala tujuh lagi warga Perancis antara yang tercedera.

Maklumat mengenai penyerang yang mati ditembak polis, masih belum didedahkan.

Penyiasat masih mengenal pasti sama ada penyerang bertindak sendirian, dan berkata identiti mereka akan didedahkan secepat mungkin.

Polis melancarkan serbuan di kawasan pelbagai etnik di Barking, pinggir London beberapa jam selepas serangan itu, menahan tujuh wanita dan lima lelaki berusia antara 19 dan 60 tahun di dua rumah.

Seorang lelaki berusia 55 tahun kemudian dibebaskan. – AFP, 5 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen