Serangan London dilakukan 'ideologi jahat' pelampau Islam menyimpang, kata PM Britain


Perdana Menteri Britain Theresa May berucap di luar Downing Street selepas serangan di London hari ini. – Gambar AFP, 4 Jun, 2017.

PERDANA Menteri Britain Theresa May menyalahkan ideologi “jahat” Islam hari ini atas serangan dilakukan tiga lelaki yang menggunakan van untuk melanggar pejalan kaki dan menyerang yang lain menggunakan pisau di tengah ibu kota London, membunuh tujuh orang.

Serangan malam semalam dilakukan penyerang yang memakai jaket bom palsu di kawasan kelab malam popular di London Bridge adalah serangan maut ketiga di Britain dalam masa tiga bulan.

Kempen politik yang berjalan di seluruh negara untuk pilihan raya umum yang dijadualkan pada Khamis ditangguh sehari sebagai menghormati mangsa, termasuk 48 orang yang masih dirawat kerana kecederaan di hospital, tetapi May menegaskan yang pengundian Khamis nanti akan tetap diteruskan.

Polis anti-keganasan Britain berkata hari ini yang mereka menahan 12 orang di Barking, Timur London, dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan van dan pisau di London Bridge itu.

“Buruan di beberapa alamat sekitar Barking masih diteruskan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai suspek, yang mati ditembak polis dalam masa beberapa minit selepas serangan.

Tetapi May berkata yang serangan itu didorong “ideologi jahat puak pelampau Islam” yang sama seperti pengeboman berani mati di Manchester minggu lepas yang membunuh 22 orang, dan serangan di Westminster pada Mac lepas, yang membunuh lima orang.

“Serangan terbaru ini tiada kaitan (dengan serangan lepas) tetapi kami percaya yang kita sedang mengalami corak baru dalam ancaman yang kita hadapi,” kata perdana menteri itu selepas mempengerusikan mesyuarat kecemasan kerajaan, jawatankuasa Cobra.

“Keganasan melahirkan keganasan dan penyerang mendapat inspirasi untuk menyerang, bukan hanya berdasarkan plot yang dirancang teliti…, malah bukan sahaja penyerang sendirian yang diradikalisasikan melalui dalam talian, tetapi dengan meniru satu sama lain dan seringkali menggunakan cara paling kejam untuk menyerang.”

Penyerang memakai jaket bom palsu dalam usaha mereka untuk meningkatkan rasa panik ketika mereka secara rawak menyerang orang ramai yang berkumpul di sekitar London Bridge dan Borough Market, yang dipenuhi dengan restoran dan bar.

Gerard Vowls, 47, berkata yang dia melihat seorang wanita ditikam berulang kali, dan melontar kerusi, gelas dan botol kepada penyerang dalam usaha untuk menghentikan mereka.

“Mereka banyak kali cuba (hampiri) untuk tikam saya…mereka tikam semua orang. Orang yang sangat jahat, sangat jahat,” katanya kepada akhbar The Guardian.

Holly James, seorang wartawan BBC, mengatakan dia melihat sebuah van putih memecut laju ke arah khalayak yang sedang berjalan kaki di sepanjang laluan pejalan kaki di London Bridge, sebelum melanggar antara lima atau enam orang.

Seorang lagi saksi, Eric, memberitahu BBC yang dia melihat tiga lelaki turun dan memikirkan yang mereka mahu membantu.

Sebaliknya mereka “mula menendang, menumbuk dan keluarkan pisau. Sangat kejam,” katanya, menambah yang dia mendengar laungan: “Ini untuk Allah”.

Awal hari ini, Ketua Polis London Cressida Dick mengesahkan yang jumlah kematian meningkat daripada enam kepada tujuh orang.

Seorang warga Australia dan empat warga Perancis antara mereka yang dirawat di hospital, kata kerajaan mereka, sementara seorang warga Sepanyol cedera ringan. May berkata sebilangan mangsa yang berada di hospital dalam situasi “mengancam nyawa”.

‘Doa untuk London”

Serangan itu berlaku hanya beberapa minit selepas berakhirnya perlawanan akhir Liga Juara-Juara antara Real Madrid dan Juventus, dalam kawasan yang dipenuhi bar yang sesak dengan penyokong yang menonton perlawanan itu di televisyen.

Polis berkata yang mereka masih berusaha menyiasat sekiranya penyerang itu mempunyai rakan subahat yang lain, walaupun mereka percaya semua penyerang sudah terbunuh.

Britain diletakkan dalam tahap amaran tertinggi selepas serangan di konsert penyanyi Ariana Grande di Manchester yang membunuh 22 orang termasuk tujuh orang kanak-kanak.

Grande, yang akan mengetuai barisan bintang dunia termasuk Pharrell Williams dan Justin Bieber dalam sebuah persembahan kebajikan di Manchester hari ini menulis di Twitternya “Berdoa untuk London.”

Tahap ancaman kebangsaan pada mulanya ditingkatkan kepada tahap tertinggi selepas serangan Manchester dan tentera diletakkan di kawasan tumpuan utama.

Tetapi May berkata yang tindak balas kepada ancaman keganasan hari ini perlu melepasi perkhidmatan keselamatan, berkata: “Kita tidak boleh dan tidak akan boleh berpura-pura yang perkara boleh diteruskan seperti dahulu.”

Mengalahkan pelampau Islam- yang digelarnya sebagai “menyimpang daripada Islam”- memerlukan “kita mengubah fikiran orang mengenai keganasan ini”.

Dia mengulangi desakan supaya tindakan antarabangsa diambil untuk memerangi kandungan pelampau dalam talian, mesej yang sama diucapkan bekas menteri dalam negeri itu ketika sidang kemuncak pemimpin G7 minggu lepas.

May juga memberikan amaran yang “terlalu banyak toleransi kepada pelampau dalam negara kita”, berjanji akan menilai kembali usaha anti-keganasan, termasuk kemungkinan meningkatkan hukuman penjara yang diperuntukkan dalam kes keganasan.

Parti pemerintah Konservatif dan pembangkang utama Parti Buruh menangguh acara kempen peringkat kebangsaan hari ini, walaupun kempen tempatan masih diteruskan.

“Tetapi keganasan tidak boleh dibenarkan menganggu proses demokratik, jadi kempen ini akan disambung sepenuhnya esok dan pilihan raya umum akan diteruskan sepertimana dijadualkan pada Khamis,” kata perdana menteri itu.

Serangan van dan pisau semalam itu adalah serangan terbaru dalam siri serangan yang melanda Eropah, termasuk Paris, Berlin dan Saint Petersburg, dan pemimpin Perancis, Jerman dan Rusia sudahpun menghantar ucap takziah dan mesej sokongan mereka.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump juga menawarkan bantuannya, menulis di Twitter “KAMI BERSAMA ANDA. TUHAN BERKATI!”- dan mengulangi kembali tindakan halangan perjalanan yang dikenakan pentadbirannya kepada pelawat yang kebanyakkannya dari negara Islam.

Imbasan serangan Westminster

Beberapa orang berkata yang mereka diarahkan polis untuk kekal diam dalam pub dan restoran ketika serangan sedang berlaku diluar.

Alex Shellum di pub Mudlark berkata seorang wanita memasuki bar dengan “pendarahan teruk di leher”, katanya kepada BBC: “Rupanya lehernya ditikam.”

Jurugambar warga Itali Gabriel Sciotto yang ketika itu menonton perlawanan bola sepak di pub Wheatsheaf di Borough Market, berkata dia nampak tiga lelaki ditembak diluar pub itu.

Dalam gambar yang diambilnya, seorang lelaki memakai seluar celoreng, dengan kepala bercukur dan kelihatan tali pinggang dengan “bekas besi” boleh dilihat terbaring di tanah dan dua lagi orang turut kelihatan terbaring dibelakangnya.

“Dalam masa dua hingga lima saat sahaja, mereka menembak mati tiga lelaki itu,” kata Sciotto kepada BBC.

Serangan itu mengimbas kembali serangan di Jambatan Westminster, Mac lepas, ketika seorang lelaki Britain yang memeluk Islam, Khalid Masood merempuh pejalan kaki menggunakan keretanya sebelum terbabas merempuh halangan yang mengelilingi bangunan parlimen.

Dia menikam mati seorang anggota polis sebelum ditembak mati. – AFP, 4 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen