Polis arah kelab malam batalkan acara 'Thai Hot Guy'


Kelab malam Privacy Tun Razak bersetuju untuk membatalkan persembahan 'Thai Hot Guy' pada majlis perasmiannya yang dijadualkan berlangsung 30 Mac ini. – Gambar Facebook, 22 Mac, 2023.

POLIS mengarahkan kelab malam Privacy Tun Razak membatalkan pertunjukan menampilkan lelaki Thai berpakaian dalam wanita untuk majlis perasmiannya minggu depan kata Ashari Abu Samah

Ketua polis daerah Wangsa Maju berkata polis bertemu dengan pihak kelab petang tadi dan memberi amaran kepada pengurusannya dan diberitahu mereka membatalkan persembahan.

“Penganjur dan pengurusan kelab bersetuju untuk mematuhi arahan membatalkannya, dan tiada program atau aktiviti sedemikian akan dijalankan.

“Polis akan terus memantau premis itu dan kami akan mengambil tindakan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan mengancam keselamatan awam.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Privacy Tun Razak agar membatalkan pertunjukan yang menampilkan lelaki Thai berpakaian dalam wanita pada acara pembukaannya minggu depan bagi menghormati kedatangan Ramadan.

Beliau berkata penganjur dan tempat acara tidak seharusnya menganjurkan rancangan yang dianggap tidak sensitif dan tidak senonoh terutama pada bulan puasa yang bermula esok.

“Sebaik-baiknya acara sebegini tidak diteruskan kerana boleh menimbulkan rasa kurang senang. Ini kerana umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Ramadan (esok).

“Mesti ada sikap saling menghormati daripada setiap orang yang hidup dalam masyarakat berbilang budaya. Mereka perlu sedar tentang sensitiviti tertentu masyarakat masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini selepas perhimpunan bulanan kementerian.

Iklan dalam talian untuk acara itu dan catatan oleh laman Facebook Malaysia Pub menunjukkan penghibur lelaki akan menjadi sebahagian daripada acara pelancaran untuk kelab itu.

Publisiti dalam talian untuk pelancaran itu menunjukkan lelaki sasa berpakaian dalam wanita  dan memakai baju pelayan restoran seksi. – 22 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen