MENTERI Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mahu Privacy Tun Razak membatalkan pertunjukan yang menampilkan lelaki Thai berpakaian dalam wanita pada acara pembukaannya minggu depan bagi menghormati bulan suci Ramadan.
Beliau berkata penganjur dan tempat acara tidak seharusnya menganjurkan rancangan yang dianggap tidak sensitif dan tidak senonoh terutama pada bulan puasa yang bermula esok.
“Sebaik-baiknya acara sebegini tidak diteruskan kerana boleh menimbulkan rasa kurang senang. Ini kerana umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Ramadan (esok).
“Mesti ada sikap saling menghormati daripada setiap orang yang hidup dalam masyarakat berbilang budaya. Mereka perlu sedar mengenai sensitiviti tertentu masyarakat masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini selepas perhimpunan bulanan kementerian.
Saifuddin juga berkata pegawai kementerian akan meneliti isu sekitar acara pembukaan kelab malam itu, yang menimbulkan kemarahan pemimpin politik.
Iklan dalam talian untuk acara itu dan catatan oleh laman Facebook Malaysia Pub menunjukkan penghibur lelaki akan menjadi sebahagian daripada acara pelancaran kelab itu.
Publisiti dalam talian bagi pelancaran itu menunjukkan lelaki sasa memakai pakaian dalam wanita dan pakaian pelayan yang seksi.
Awal hari ini, setiausaha politik perdana menteri Azman Abidin berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang bersiap sedia untuk mengambil tindakan penguatkuasaan jika peraturan dilanggar.
Ia mendapati tempat itu, yang dilesenkan sebagai restoran kepada Beijing 9 Sdn Bhd, beroperasi dengan lesen restoran tamat tempoh sejak 4 Februari 2021, dan juga tidak mempunyai lesen hiburan untuk mengadakan acara pelancaran akan datang.
Sementara itu, di Dewan Rakyat hari ini, Bernama melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Hal Ehwal Sarawak dan Fungsi Khas) Wilson Ugak Kumbong berkata kerajaan tiada kaitan dengan program tidak bermoral seperti “Thai Hot Guys”.
Ugak berkata penganjuran sebarang program perlu mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.
“Rangka kerja Malaysia Madani adalah untuk merangkumi semua rakyat Malaysia… kerajaan kita tidak mempunyai program seperti yang dinyatakan sebelum ini. Jangan kaitkan (kerajaan) dengan program tidak bermoral,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian dalam jawapannya kepada soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN), yang ingin mengetahui pendirian kerajaan mengenai penganjuran acara “Thai Hot Guys” di ibu negara pada 30 Mac dan meminta program itu dibatalkan. – 22 Mac, 2023.
Komen