Nilai jualan industri francais berjumlah RM26 bilion, kata menteri


Sehingga Disember 2022, industri francais negara merekodkan 1,197 syarikat francaisor berdaftar dengan 713 daripadanya adalah syarikat francaisor tempatan manakala 428 merupakan syarikat francaisor luar negara. – Gambar Facebook, 20 Mac, 2023.

NILAI jualan industri francais negara mencapai RM26 bilion, iaitu terbesar setakat ini berbanding RM14 bilion pada 2020, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.

Beliau berkata berdasarkan Laporan Tahunan Perniagaan Francais, nilai jualan industri berkenaan meningkat sebanyak 71% pada 2021.

“Oleh itu, kerajaan menyasarkan 16 industri francais akan berkembang antara 20% hingga 30% pada tahun ini,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) di Dewan Rakyat hari ini.

Ewon berkata sehingga Disember 2022, industri francais negara merekodkan 1,197 syarikat francaisor berdaftar dengan 713 daripadanya adalah syarikat francaisor tempatan manakala 428 merupakan syarikat francaisor luar negara.

“Selain itu, terdapat 55 koperasi terlibat dalam aktiviti francais makanan dan minuman (F&B) serta sektor perkhidmatan seperti Ar Rahnu X’Change Bank Rakyat bagi sektor perkhidmatan serta Marrybrown dan Gloria Jean’s Coffees bagi sektor makanan,” katanya.

Menurut Ewon, Kuskop sentiasa menggalakkan koperasi untuk terlibat dalam perniagaan francais bagi merancakkan lagi pembangunan dan sumbangan industri francais untuk meningkatkan pendapatan.

Kementerian melalui Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) memperkenalkan Program Business in Transformation (BIT) pada 2013 sebagai program transformasi perniagaan untuk usahawan mikro lebih kompetitif dan sistematik dalam menjalankan perniagaan.

 Melalui program BIT, usahawan kecil akan dibimbing untuk menaik taraf perniagaan dari segi imej, kualiti perkhidmatan dan konsep perniagaan bagi membantu meningkatkan sumber pendapatan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan industri francais.

“Sejak diperkenalkan, sebanyak 140 syarikat pelbagai sektor seperti F&B, peruncitan, perkhidmatan serta pendidikan telah mendaftar dalam program BIT. Sehingga 31 Disember 2022, Pernas meluluskan pembiayaan kepada 313 usahawan BIT sebanyak RM9.9 juta,” katanya. – Bernama, 20 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen