Ewon cadang menteri, timbalan menteri Sabah muafakat bela rakyat


Ewon Benedick dilantik sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim. – Gambar Facebook, 10 Disember, 2022.

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick hari ini mencadangkan satu permuafakatan antara semua menteri dan timbalan menteri Persekutuan dari Sabah demi membela hak rakyat negeri itu.

Beliau berkata kesepakatan itu penting bagi membantu menjayakan wawasan murni kerajaan perpaduan terutama berkaitan kepentingan rakyat Sabah.

“Sebab itu, saya akan mencadangkan kepada rakan saya saudara Armizan (Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) untuk kita buat permuafakatan dan perjumpaan yang konsisten antara dua orang menteri dan tujuh timbalan menteri (dari Sabah).

“Kita akan berbincang bagaimana cara terbaik untuk kita mengangkat hak Sabah dalam pimpinan kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Eco Peak Condominium di Penampang, Sabah hari ini.

Ewon yang juga ahli Parlimen Penampang berkata, kerjasama antara menteri dan timbalan menteri dari Sabah itu bukan hanya untuk membawa pembangunan dan kemajuan di negeri itu, tetapi lebih penting menuntut hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Saya fikir ini yang wajar dan perlu kita laksanakan. Permuafakatan yang konsisten dan membincangkan hak Sabah, seterusnya sama-sama angkat untuk diambil tindakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas pelantikan tujuh timbalan menteri dari Sabah, jumlah yang tidak pernah ada dalam pimpinan kerajaan sebelum ini.

“Walaupun secara peribadi saya ingin melihat lebih banyak pelantikan menteri dan timbalan menteri dari Sabah, namun apa yang penting pelantikan sudah dibuat dan tiba masanya untuk semua yang dilantik bekerja keras untuk rakyat Sabah,” katanya.

Semalam, tujuh ahli Parlimen dari Sabah dilantik sebagai timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan, tiga mewakili Barisan Nasional, dua dari Pakatan Harapan, manakala Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan masing-masing diwakili seorang timbalan menteri. – Bernama, 10 Disember, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen