Cerita bunga Melur 


Fakhrurrazi Rashid

Semua pihak mempunyai peranan dalam membina sebuah negara yang harmoni dan aman meskipun ada perbezaan. – Gambar AFP, 17 Mac, 2023.

SOAL perpaduan dan integerasi sepatutnya semakin kukuh di Malaysia. Tapi, dalam sekelip mata, cita-cita untuk menjadi bangga dengan nilai perpaduan diwarisi Malaysia musnah dek kerana satu dua keparat yang cuba membesar-besarkan kebencian dalam masyarakat majmuk.

Maka, setiap tahun, isu-isu kaum dan agama ini ada sahaja yang tidak kena.

Memupuk pikiran saling menghormati perbedaan pandangan atau agama bukanlah sesuatu yang mudah.

Setiap orang mempunyai pengalaman tersendiri untuk mencari erti perpaduan yang dimaksudkan itu.

Cuma, perjalanan saya lalui untuk memahami perpaduan dan hormat-menghormati bermula di pagar rumah lagi sewaktu kecil.

Saya membesar di kawasan kejiranan kelas menengah dan berbilang etnik di Desa Jaya.

Di sinilah, arwah ibu saya gemar membawa saya mengenali jiran tetangga yang berbeza latar belakang. Hakikatnya, anak kecil sebenarnya tidak pernah kisah pun latar belakang kaum  jiran tetangga, tetapi lebih mengambil berat sama ada orang itu tua atau muda.

Arwah ibu saya memang minat bercucuk tanam di halaman rumah. Setiap petang, ada sahaja jiran tetangga datang ke rumah melihat hasil tanaman dan bunga yang ibu usahakan.

Walaupun terdapat pelbagai bunga, saya tertarik dengan pokok bunga Melur yang ibu pelihara di halaman rumah.

Bukan apa, selalunya jiran kami, Makcik Bali, seorang wanita kaum India dan beragama Hindu, akan masuk ke halaman rumah untuk memetik bunga Melur.

Saya cuma hairan dan bertanyakan soalan kepada arwah ibu.

“Kenapa ibu bagi Makcik Bali masuk rumah dan petik bunga itu sesuka hati?” Begitulah dialog yang saya ingat.

Perpaduan di pagar rumah

Dengan wajah senyum, arwah ibu menjelaskan bunga Melur itu adalah untuk upacara sembahyang dan agama Hindu.

Menariknya, ibu tidak pernah sesekali menghalang Makcik Bali membuka pagar halaman untuk memetik bunga Melur tersebut.

Malah, ibu berpesan kita hidup berjiran, tidak kira siapa, perlu memudahkan masyarakat sekeliling.

Bagi ibu, kehadiran Makcik Bali perlu disambut kerana setiap kali menjejakkan kaki ke rumah, dia ialah tetamu. Itulah ajaran Islam dalam menghormati jiran.

Pengalaman ini mungkin sukar difahami sewaktu kecil. Tetapi, setelah meningkat dewasa, saya mula mengerti akan maksud ibu.

Sudah pasti hasil yang diusahakan untuk diri sendiri, seperti pokok bunga Melur ditanam ibu, tetapi ia menjadi lebih indah untuk dikongsikan dengan orang yang lebih memerlukan.

Lebih baik menjadi pemudah kepada orang lain tanpa mengambil kira fahaman agama dan etnik, seperti kebiasaan arwah ibu memudahkan Makcik Bali memetik bunga Melur di halaman rumah.

Sedangkan bunga itu ditanam sekadar untuk memeriahkan halaman rumah. Hakikatnya, saya belajar erti perpaduan di pagar rumah dan bunga Melur di halaman rumah saya.

Kenangan ini lebih daripada semangat kejiranan kerana akhirnya saya dapat melihat erti sebenar perpaduan yang masih menjadi dilemma kebanyakan rakyat Malaysia.

Mungkin lebih banyak cerita rakyat Malaysia yang secara langsung mempunyai cerita seperti ini. Malangnya, apa yang keluar di khalayak ramai hanyalah ucapan-ucapan membangkitkan perasaan membenci satu dan yang lain.

Saya tidak menyangka cerita bunga Melur banyak mengajar saya erti perpaduan.

Saya mengerti tidak semua akan merasa pengalaman yang sama, mungkin kita punya cerita yang pelbagai.

Tapi, inilah coretan kecil yang saya fikir dapat menjadi tatapan rakyat Malaysia yang terus-menerus berusaha merealisasikan perpaduan rakyat tanpa mengambil kira ras dan agama.

Melengkapkan puzzle

Dalam hiruk-pikuk sentimen politik kaum dan agama ini dimainkan, kesedaran untuk menghargai perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia kian tinggi.

Peluang untuk memperbaiki kelemahan dalam aspek perpaduan sentiasa ada. Cuma, kalau kelemahan perpaduan itu sentiasa berulang, itu menunjukkan negara kita sedang berhadapan dengan masalah.

Tidak kiralah maju mana ekonomi dan politik sesebuah negara, hakikatnya semua akan musnah jika rakyat terus terperangkap dalam permainan politik sempit ini.

Apabila perpaduan negara itu digugat secara berterusan, maka generasi akan datang pula hilang kepercayaan kepada pentadbiran negara, seterusnya sanggup merantau jauh untuk mendapat kehidupan lebih baik.

Saya menganggap perpaduan negara itu macam “puzzle”.

Setiap puzzle itu mempunyai bentuk dan warna yang berbeza untuk dicantumkan bagi melengkapkan rekaan itu sendiri.

Jika tertinggal satu puzzle, maka rekaan puzzle itu pun jadilah buruk kerana ada ruang kosong dan lompong.

Begitulah perkara utama yang kita perlukan dalam mewujudkan perpaduan di Malaysia.

Walaupun berbeza dari sudut kaum dan agama, tetapi kita saling melengkapi antara satu dan yang lain. Semua mempunyai peranan dalam membina sebuah negara yang harmoni dan aman meskipun ada perbezaan.

Lebih baik lengkapkan puzzle perpaduan itu sekarang, bimbang generasi akan datang pula yang terpaksa mencari puzzle perpaduan yang sedang dimusnah dan disorokkan pihak tertentu demi memperluas “dilema” dalam membina rakyat Malaysia yang harmoni dan bersatu-padu. – 17 Mac, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen