Bekas penasihat Azmin dilantik ketuai Isis


Prof Dr Mohd Faiz Abdullah.

BEKAS penasihat Mohamed Azmin Ali, Prof Dr Mohd Faiz Abdullah dilantik pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 17 Februari lalu.

Faiz adalah penasihat khas dasar dan hal ehwal antarabangsa kerajaan Selangor semasa Azmin jadi menteri besar.

Beliau juga penasihat hubungan strategik dan antarabangsa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa Azmin jadi menteri di Putrajaya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik Faiz atas pengalaman luasnya dalam bidang dasar dan penyelidikan awam, menurut hebahan Isis.

Dalam satu kenyataan, Faiz mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan dan amanah terhadapnya untuk menerajui badan pemikir itu.

“Selaras dengan peluncuran Malaysia Madani sebagai falsafah pembimbing kenegaraan, Malaysia bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar di persada antarabangsa.

“Justeru, Isis Malaysia akan bantu memangkinkan agenda ini demi merealisasikan aspirasi negara,” katanya.

Faiz pernah jadi wartawan di New Straits Times sebelum beralih ke bidang penguatkuasaan dan undang-undang.

Beliau lulus Ijazah Undang-Undang dengan Kepujian Kelas Pertama dari Universiti Islam Antarabangsa pada 1989 dan diterima sebagai peguam pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian memperolehi Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Southern Queensland, Australia, dan Doktor Falsafah dari Putra Business School. Ijazah sulungnya dalam Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Malaya.

Faiz juga pernah menjadi felo penyelidik kanan dan pengarah di Institut Kajian Dasar (IKD) dari 1996 hingga 2008.

Pada 2009, bersama Anwar selaku pengerusi, beliau mengasaskan “World Forum for Muslim Democrats” yang menjadi landasan wacana reformasi, demokrasi dan tadbir urus di Malaysia.

Dalam pada itu, perdana menteri juga melantik enam ahli Lembaga Pengarah Isis Malaysia yang baharu termasuk tiga wakil kerajaan iaitu ketua setiausaha tiga kementerian.

Tiga ketua setiausaha kementerian itu ialah Amran Mohamed Zain (luar negeri), Johan Mahmood Merican (kewangan), dan Muez Abd Aziz (pertahanan).

Tiga lagi ahli lembaga pengarah yang baharu ialah Prof Dr Mohamed Aslam Mohamed Haneef dari Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Rozanah Ab Rahman dari Universiti Putra Malaysia, dan Ketua Pegawai Eksekutif Strand Aerospace Malaysia Naguib Mohd Nor.

Perdana menteri juga melantik V Raman Narayanan dari Kumpulan Sunway dan Prof Dr Tham Siew Yean, Felo Kanan Pelawat Institut ISEAS-Yusof Ishak ke lembaga pengarah Isis Malaysia. – 14 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen