PRM tanding 15 kerusi DUN Pulau Pinang


PRM bertanding banyak kerusi di Pulau Pinang kali ini kerana mendakwa mendapat maklum balas rakyat tidak terlalu puas hati dengan cara kerajaan pimpinan DAP mentadbir negeri tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac 2023.

PARTI Rakyat Malaysia (PRM) akan bertanding 15 kerusi daripada 40 kerusi Dewan undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Presiden PRM Mohamad Ezam Mohd Nor, berkata parti tersebut bertanding banyak kerusi di Pulau Pinang kali ini kerana mendakwa mendapat maklum balas rakyat tidak terlalu puas hati dengan cara kerajaan pimpinan DAP mentadbir negeri tersebut.

“Dahulu MCA adalah musuh tradisi DAP, tetapi kini mereka adalah antara komponen dalam Kerajaan Perpaduan (yang juga sebahagian daripada DAP), manakala Gerakan bukan saingan kuat DAP di Pulau Pinang, iaitu (kubu kuat DAP).

“Kami terpanggil untuk mengemukakan calon dalam PRN kali ini kerana kami mahu menegakkan konsep semak dan imbang di bawah kepimpinan DAP,” katanya Ezam, yang juga bekas ketua Pemuda PKR,  pada sidang media, di George Town, hari ini. 

Antara kerusi DUN adalah di kawasan pulau iaitu Air Putih, Pulau Tikus, Kebun Bunga, Seri Delima, Sungai Pinang, Air Itam, Pantai Jerejak, Teluk Bahang, Bayan Lepas dan Batu Maung manakala baki lima kerusi DUN adalah di kawasan Seberang Perai.

Sementara itu, Ketua PRM Pulau Pinang, Teh Yee Cheu, berkata parti itu menyasarkan memenangi lima daripada 15 kerusi yang dipertandingkan dan beliau sendiri akan akan mencabar Pengerusi DAP Kebangsaan, yang juga Adun Air Putih, Lim Guan Eng.

Menurutnya, parti itu akan memberi butiran terperinci seminggu atau dua minggu sebelum PRN berlangsung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PRM bertanding lima kerusi Parlimen di Pulau Pinang dan kalah kesemuanya melibatkan kerusi Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal.

PRN kali ini melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Bernama, 13 Mac 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen