Keputusan permohonan injunksi 4 Adun P.Pinang halang usul kosongkan kerusi 3 Mac


Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam kedua-dua pihak. –Gambar Wikipedia, 28 Februari, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang hari ini menetapkan 3 Mac ini untuk memutuskan permohonan injunksi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang bagi menghalang Dewan Undangan Negeri (DUN) membentangkan usul pengosongan kerusi mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Chetan Jethwani yang mewakili keempat-empat Adun dan peguam Surendra Ananth yang mewakili DUN Pulau Pinang serta Speakernya Law Choo Kiang.

Terdahulu Chetan dalam hujahannya memohon mahkamah menggunakan kuasa untuk membenarkan injunksi menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul pengosongan kerusi itu sehingga anak guamannya selesai rayuan.

“Sekiranya mahkamah tidak dapat membenarkan injunksi, saya berharap mahkamah dapat menghalang Speaker DUN Pulau Pinang untuk maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas usul pengosongan kerusi DUN dibentang, bahas dan dilulus,” katanya.

Bagaimanapun Surendra berhujah DUN perlu menjalankan tugasnya dan sekiranya ada pihak yang tidak puas hati dengan keputusan, baru kes itu dibawa ke mahkamah.

“Jadi usul itu perlu dibentang, dibahas dan undi sebelum keputusan itu dicabar dalam mahkamah dan bukan sebaliknya sebelum usul dibentang,” katanya.

Pada 20 Januari lepas Azizan menolak saman Adun Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) terhadap DUN negeri itu dan Speakernya berhubung usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing.

Bagaimanapun keempat-empat mereka mengemukakan rayuan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan pada 25 Januari lepas. 

Azizan dalam keputusannya ketika itu berkata Mahkamah Persekutuan sudah pun memutuskan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah, jadi mahkamah terikat dengan keputusan itu.

Pada 2020, empat Adun itu memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Namun pada 16 Disember 2022, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan empat ADUN Pulau Pinang itu untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN berkenaan daripada meluluskan usul undang-undang anti lompat parti.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang Adun hendaklah mengosongkan kerusinya jika dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain. – Bernama, 28 Februari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen