Australia bebaskan pengarah JSJ dari kesalahan jenayah, kata KPN


Muzliza Mustafa

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Wan Ahmad Najmuddin dibebaskan daripada sebarang kesalahan jenayah berhubung wang yang dirampas dari akaun miliknya di Australia, kata Ketua Polis Negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2018.  

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Wan Ahmad Najmuddin dibebaskan daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan wang yang dirampas dari akaun miliknya di Australia, kata Ketua Polis Negara (KPN) Mohamad Fuzi Harun.  

Mohamad Fuzi berkata beliau dimaklumkan mengenai perkembangan itu oleh rakan sejawatnya di Australia.

“Siasatan mereka menunjukkan tiada sebarang elemen jenayah dalam kes Wan Ahmad Najmuddin. Mungkin hanya melibatkan had (deposit),” kata Mohamad Fuzi. 

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada wang berjumlah AS$320,000 yang dirampas dari akaun milik Wan Ahmad di Sydney akan dipulangkan semula.

Mohamad Fuzi hanya menjawab yang orang ramai dan media harus berlaku adil terhadap Wan Ahmad, yang dilihat seolah-olah bersalah pada pandangan orang ramai. 

Mohamad Fuzi berkata pengarah JSJ itu pernah “dihukum” pada 2016 oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, sewaktu kenaikan pangkatnya ditangguhkan sementara menunggu siasatan terhadapnya dijalankan. 

“Dia sepatutnya disahkan sebagai pesuruhjaya polis tetapi kami tangguhkan kenaikan pangkat itu sehingga laporan menunjukkan yang dia tidak bersalah,” kata Mohamad Fuzi. 

Beliau berkata yang Wan Ahmad juga ada menyerahkan perjanjian jual beli rumah kepada kumpulan penyiasat sebagai bukti bagaimana wang itu diperolehinya dan kemudian dimasukkan ke dalam akaun banknya di Sydney. 

“Jadi kita tidak patut buat spekulasi berkenaan perkara ini. Normal lah, bila kita ada anak, kita cuba bagi yang terbaik. Dalam kes ini, dia cuma mahu anaknya mendapatkan pendidikan di Australia,” kata Mohamad Fuzi pada acara di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia petang ini. 

Wan Ahmad sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas agensi itu menerima satu laporan berhubung wang yang dimasukkan ke akaun bank Australia miliknya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (operasi) Azam Baki berkata identiti pengadu dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat justeru tidak boleh didedahkan. 

Sydney Morning Herald pada 2 Mac lepas melaporkan yang Polis Persekutuan Australia merampas sejumlah lebih AS$320,000, selepas mengesyaki bank akaun di Sydney itu terlibat dalam pengubahan wang haram atau jenayah. 

Akhbar itu turut melaporkan yang Wan Ahmad tidak mahu mencabar tindakan rampasan tersebut kerana mendakwa proses berkenaan memakan kos yang tinggi.  – 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mana pengumuman rasmi?

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan