Argentina gantung eksport ayam susulan wabak selesema burung 


Pihak berkuasa Argentina mengambil langkah pembendungan bagi mengelakkan penyebaran selesema burung di negara itu. – Gambar EPA, 2 Mac 2023.

ARGENTINA mengumumkan penggantungan automatik eksport ayam selepas menemui kes selesema burung di ladang ayam.

Dalam satu kenyataan petang Selasa, agensi kesihatan makanan Senasa berkata kes selesema burung (HPAI) sangat patogenik ditemui di wilayah Rio Negro, di kawasan kira-kira 1,100km di selatan Buenos Aires.

Ia merupakan kes pertama yang dikesan dalam ayam daging di ladang Argentina, kata Menteri Pertanian Juan Jose Bahello di Twitter, ketika dunia menangani wabak sengit virus selesema burung H5N1 yang turut dikesan dalam mamalia dan baru-baru ini beberapa manusia.

Senasa berkata pengeluaran ayam untuk kegunaan domestik akan diteruskan, “kerana HPAI tidak tersebar melalui pengambilan daging dan telur ayam.”

Tambah Bahello: “Produk ternakan kami terus selamat untuk warga Argentina. Penggantungan eksport bertindak balas kepada keperluan peraturan antarabangsa.”

Langkah pembendungan sedang diambil untuk mengelakkan penyebaran virus, tambah menteri itu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa mengesan 24 kes H5N1 dalam burung liar.

Menurut angka rasmi, Argentina pada 2020 merupakan pengeksport ayam kelapan terbesar di dunia, terutamanya ke China, Afrika Selatan dan Chile.

Sejak akhir 2021, salah satu wabak selesema burung global paling teruk dalam rekod menyaksikan puluhan juta ayam dimusnahkan, burung liar mati dalam jumlah yang besar dan peningkatan jangkitan dalam kalangan mamalia di beberapa negara.

Di Kemboja, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun jatuh sakit pada pertengahan Februari akibat demam, batuk dan sakit tekak, dan meninggal dunia akibat virus selesema burung H5N1, menurut kementerian kesihatan di sana.

Bapanya juga diuji positif, tetapi pihak berkuasa kesihatan Kemboja menafikan penularan dari manusia kepada manusia.

Manusia jarang dijangkiti selesema burung, tetapi apabila dijangkiti biasanya ia disebabkan oleh sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti. – AFP, 2 Mac 2023. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen