Melampau tahan remaja persenda kertas SPM, kata Majlis Peguam


Dua pelajar ditahan polis daerah Hulu Selangor kerana mengkritik kertas soalan Sejarah SPM 2022. – Gambar tangkap layar Facebook, 1 Mac, 2023.

PENAHANAN dua remaja yang mempersenda kertas Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disifatkan tidak perlu, tidak munasabah dan melampau, kata Majlis Peguam Malaysia.

Presidennya Karen Cheah berkata meskipun tidak bersetuju dengan perlakuan dua remaja itu, namun mereka hanya menyatakan pengalaman selepas menduduki peperiksaan bagi subjek itu.

“Ia sepatutnya tidak mencetuskan tekanan yang tidak perlu oleh polis untuk kesalahan yang tidak serius ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, dua remaja ditahan selepas video mempersenda kertas Sejarah itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Suffian Abdullah berkata kedua pelajar itu ditahan bagi membantu siasatan selepas menerima laporan daripada seorang guru.

“Video tular di TikTok dan Facebook menunjukkan seorang pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas Sejarah SPM.

“Pelajar itu menggunakan kata-kata kesat terhadap pembuat kertas soalan serta menghina Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, polis mempertahankan penahanan tersebut yang dilaksanakan mengikut undang-undang negara.

Sementara itu Cheah berkata perlu dingat kedua pelajar itu masih berstatus pelajar sekolah menengah.

“Mereka sudah meminta maaf dan menyesal atas tindakan itu tapi terpaksa berdepan dengan pengalaman menakutkan ditahan dan terpaksa menjalani ujian dadah pada usia yang sangat muda,” katanya.

Katanya, tindakan polis itu boleh menimbulkan persoalan tentang pembaziran sumber yang dibazirkan untuk menahan dua remaja itu berbanding mengejar penjenayah sebenar dengan jenayah yang lebih serius.

“Tindakan polis menahan remaja itu tidak perlu dan hanya akan memberi kesan kepada emosi dan mental mereka.

“Majlis Peguam melihat pendekatan yang betul untuk menangani pelajar seperti ini adalah melalui proses disiplin atau kaunseling di sekolah bukan dengan proses undan-undang,” katanya.

Katanya lagi kebebasan bersuara adalah lambang demokrasi dan tindakan dua remaja itu merupakan contoh kepelbagaian pendapat.

“Mungkin sesetengah masyarakat tidak bersetuju dengannya,” katanya. – 1 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen