Menyuluh Belanjawan 2023 dari lensa bantuan tunai


Mohd Azizi Jaeh

Menteri Kewangan Anwar Ibrahim menunjukkan fail Belanjawan 2023 ketika keluar dari Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, untuk ke Parlimen, Jumaat lalu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Mac, 2023.

USAI pembentangan Belanjawan 2023. Rangkuman dan tinjauan awal dari bajet yang dibentangkan tampak sederhana, namun terdapat beberapa langkah berbeza daripada pembentangan menteri-menteri kewangan sebelumnya.

Jangkaan tinggi yang disandarkan kepada Perdana Menteri ke-10 ialah ‘pengakhiran bajet cara lama’ dan ‘kelahiran sebuah bajet baru.’ Bukan setakat mengulang tayang, menyalin bulat-bulat serta menukar perkataan dalam draf belanjawan bila sahaja diumumkan!

Setidak-tidaknya belanjawan ini harus mencerminkan isi kandungan reform dan pengislahan yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim selama ini – khususnya pembelaan kepada kelompok miskin.

Pastinya kita mengharapkan ‘sesuatu yang lebih lagi’ daripada apa yang telah disediakan dalam bajet kali ini  – rakyat mendambakan kerajaan dapat mencari jalan keluar menangani kos sara hidup berikutan kenaikan kadar inflasi.

Kesan daripada krisis ekonomi semacam menimbulkan tekanan dan penurunan taraf penghidupan terutamanya golongan miskin.

Ada yang ingin melihat perubahan yang benar-benar struktural – pengenalan beberapa langkah baru, penyegaran semula pendekatan lama dan menghentikan amalan perbelanjaan yang tidak memberikan impak besar. Kelihatannya ada, tapi agak minimum (sedikit). Dengan mengandaikan bahawa masih terlalu awal kerajaan gabungan ini untuk menyesuaikan diri dengan ragam ekonomi dan cabaran semasa.

Kepada sebilangan pihak, bajet mendatangkan satu khabar gembira dan kelegaan. Namun, kepada sesetengah pihak pula belanjawan membawakan kedukaan dan rungutan. Biarpun penekanan belanjawan itu sendiri menjanjikan tidak ada kumpulan yang akan terpinggir daripada setiap wang yang disalurkan.

Realitinya, cakupan bajet yang cukup luas memberikan ‘pemaknaan’ berbeza pada setiap khalayak yang berbeza. Ia memerlukan kerajaan menangani permasalahan dengan preskripsi atau (layanan) berbeza mengikut keperluan golongan terbabit (khususnya kumpulan rentan) – misalnya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sehingga RM2,500 kepada isi rumah golongan B40 bergantung kepada bilangan tanggungan.

Berdasarkan dokumen belanjawan yang dibentangkan 24 Februari lalu, 60% daripada rakyat dewasa menerima manfaat bantuan STR tersebut. Perlu diingatkan, semakin tinggi bilangan penerima bantuan tunai, semakin ramai sebenarnya yang tergolong dalam kategori B40 dan garis miskin.

Sesuatu yang harus difikirkan kerajaan adalah menurunkan angka kumpulan penerima bantuan tunai untuk bajet masa depan. Jika semakin tinggi penerima, ia merupakan petanda kegagalan. Kriteria penerima adalah berdasarkan pendapatan yang telah ditetapkan, contohnya RM2,500 ke bawah dan RM2500-RM5,000. Rata-ratanya boleh dikelaskan dalam kumpulan berpendapatan rendah dan miskin.

Peningkatan kadar bantuan bukanlah suatu ukuran yang harus dibanggakan. Sudah menjadi ‘kebiasaan yang sukar diubah’ bilamana kerajaan (tidak mengira parti) kelihatan berlumba-lumba untuk menyatakan yang penyaluran bantuan diperuntukkan mereka telah mendapat liputan seramai mungkin, 8 juta, 9 juta, 10 juta penerima!

Namun, jika bertambahnya jumlah isi rumah yang berupaya keluar daripada garis pendapatan rendah dan tidak lagi menerima bantuan, secara tak langsung mereka dapat membebaskan kehidupan dari belitan kemiskinan.

Bagi sesetengah golongan pula, perkataan bantuan merupakan sesuatu yang memukau, seksis, membenihkan perasaan terhutang budi serta rasa terus bergantung kepada kerajaan.

Hakikatnya bantuan tunai yang diberikan ini sekadar meneruskan kesinambungan dari program kerajaan terdahulu – penjenamaan semula nama daripada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Mungkin agak keras jika mengatakannya dengan ungkapan ‘old wine in the new bottle’.

Suatu yang menarik perhatian penulis tentang Bajet 2023 ialah kesediaan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) untuk berkongsi keuntungan bersih berjumlah 30% kepada pesawah padi.

Walaupun hal ini bukanlah perkara yang luar biasa dan luar jangkaan, tetapi adanya inisiatif dan tekad politik Perdana Menteri untuk memujuk golongan pemodal serta korporat berkongsi agihan keuntungan. Ini bukan suatu yang rare, tapi ia tidak klise!

Sekurang-kurangnya menampakkan antara tiga tekad daripada bajet ini ke arah keadilan sosial untuk menyederhanakan kesenjangan.

Perlu ditegaskan, pemberian wang secara one-off adalah kaedah jangka pendek bagi meringankan beban kewangan akibat ketidakcukupan duit untuk membeli barangan dan keperluan asas.

Untuk pembasmian kemiskinan ia memerlukan program jangka masa panjang  dengan meningkatkan produktiviti, hasil pengeluaran, penggunaan teknologi tinggi serta mencipta pendapatan sampingan. Ini juga disentuh dalam bajet, tetapi memerlukan pendekatan komprehensif secara bersama dalam Rancangan Malaysia (RMK).

Selain perhatian terarah kepada STR, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kepada 130,000 miskin tegar dengan memberikan subsidi penggajian kepada majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja boleh meningkatkan pendapatan. Dengan kata lain, bayaran upah daripada majikan akan ‘ditopup’ oleh kerajaan selebihnya.

Bezanya, IPR ini peserta harus bekerja, menghasilkan pengeluaran, menyewa kemudahan untuk berniaga dan sebagainya. Berbanding dengan STR ialah bantuan one-off semata.

Penulis tidak menentang sepenuhnya bentuk bantuan tunai, ada ketika dan adakalanya pemberian tunai diperlukan, cuma pergantungan terhadap penyelesaian jangka pendek hanya akan menjadikan golongan berpendapatan rendah tidak produktif dan  akan terus menerus bergantung kepada kerajaan untuk tempoh masa yang lama.

Bantuan tidak semata ‘mengambil duit daripada poket orang kaya lalu memberikannya kepada orang miskin, ia menjangkaui lebih daripada itu.  Dengan wujudnya pelbagai tafsiran tentang kaedah bantuan, ia merupakan cabaran bersama setiap warga menghasilkan buah fikir dalam mengeluarkan masyarakat Malaysia daripada belitan kemiskinan. – 1 Mac, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen