Kenapa tidak siasat juga pemimpin BN berkait Jana Wibawa, soal Azmin


Ketua Penerangan PN Azmin Ali mendakwa BN yang kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan menggunakan kedudukan mereka untuk menakut-nakutkan pembangkang dengan pendakwaan jenayah dan tindakan undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Februari 2023.

TIDAK wajar hanya pemimpin Bersatu menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan berhubung program Jana Wibawa sedangkan ia diteruskan ketika kerajaan diketuai Barisan Nasional (BN) selepas Muhyiddin Yassin letak jawatan perdana menteri, kata Mohamed Azmin Ali.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu juga mendakwa BN yang kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang dibentuk bersama Pakatan Harapan (PH) menggunakan kedudukan mereka untuk menakut-nakutkan pembangkang dengan pendakwaan jenayah dan tindakan undang-undang.

“Pada masa itu perdana menteri adalah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, naib presiden Umno, bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mengapa hanya pemimpin Bersatu menjadi sasaran siasatan dan pendakwaan, manakala pemimpin BN dikecualikan?” soalnya dalam satu kenyataan. 

Azmin merujuk kepada pertuduhan rasuah dikenakan terhadap bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad berhubung projek Jana Wibawa.

Tambahnya, kertas pertuduhan menyebut waktu kesalahan yang dinyatakan semuanya bukan semasa PN mengetuai kerajaan.

“Kertas pertuduhan pun tiada menyebut Bersatu atau PN.

“Jika Jana Wibawa menjadi fokus siasatan SPRM, saya tahu bahawa program ini diteruskan kerajaan persekutuan diketuai BN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan perdana menteri.

“Malah banyak kelulusan projek diberikan ketika BN mengetuai kerajaan.

“Ini jelas menunjukkan terdapat cubaan di peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan PH-BN menggunakan institusi kerajaan untuk melakukan pendakwaan terpilih dalam siri buruan politik mereka yang gopoh dan tidak cermat,” katanya.

Seterusnya kata Azmin, siri pendakwaan ini dibuat hanya bertujuan untuk membunuh karakter pemimpin Bersatu dan PN menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang tanpa mengambil kira sama ada pertuduhan tersebut mempunyai asas yang kukuh atau tidak.

‘‘Inilah konspirasi jahat kerajaan PH-BN untuk menyelamatkan kedudukan mereka yang semakin tidak popular di mata rakyat seperti mana yang ditunjukkan dalam kajian sentimen awam yang terbaharu.” – 28 Februari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen