Kisah sedih seniman selepas Bajet 2023


Faisal Tehrani

Bajet 2023 yang dibentangkan Anwar Ibrahim adalah kisah sedih untuk dunia seni dan kebudayaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Februari, 2023.

MEMAHAMI logika peruntukan 20 juta untuk Dewan Bahasa dan Pustaka bagi menumbuhkan sektor terjemahan dan perbukuan, serta menyemarakkan kesusasteraan Melayu, kita tidak dapat tidak segera mengerti bahawa pasukan ekonomi Anwar Ibrahim sangat terputus daripada lingkungan cendekiawan, seniman dan pemikir Melayu.

RM20 juta untuk DBP, seriuslah pasukan bajet Anwar Ibrahim? 

Kita boleh mengerti tentunya jika Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan Perbadanan Kota Buku digabungkan, tetapi meletakkannya bawah sebuah badan yang tidak lagi berdaya saing, kabur perasaan dan objektif, mati pucuk cita-cita, kehilangan haluan pelayaran, kegentingan misi, dan kegampangan sensitiviti seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuatkan ramai seniman sebenar menepuk dahi menyebut kata ‘malang’.

RM20 juta untuk DBP, seriuslah pasukan bajet Anwar Ibrahim?

Bukan sahaja DBP sudah amat tidak relevan, usaha mendanainya juga membuatkan ramai antara kita tertawa beramai-ramai terpingkal-pingkal santak bertepuk tampar latah kerana terkilan dan menyampah.

RM20 juta untuk DBP, seriuslah pasukan bajet Anwar Ibrahim?

Untuk ramai sasterawan, jalan penerokaan ke jagat antarabangsa sudah tidak lagi menempuh jurusan DBP yang tidak lagi berdaya maju, kabut impian dan tujuan, mati kutu hasrat, kekontangan benak dan akal budi, kesempitan pendekatan dan kreativiti, dan kegondolan rasa. 

Pengarang yang membawa nama Malaysia kini menulis dalam bahasa bukan Bahasa Melayu. Ini menjadi petunjuk bahawa bahasa yang dulu dilabel sebagai sukuan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti bahasa Inggeris dan Mandarin telah mengorak langkah luas dan jauh. RM20 juta untuk DBP, seriuslah pasukan bajet Anwar Ibrahim?

Padahal dalam urusan penerjemahan, IBDE, anak syarikat kerajaan Selangor jauh lebih berwibawa. 

Padahal dalam urusan penyemaian sasterawan muda, kumpulan dan penerbit buku independen seperti Tukang Puisi jauh lebih giat dan rancak. 

Padahal dalam urusan pengiktirafan antarabangsa, pengarang bukan berbahasa Melayu sudah memanjat tangga internasional meninggalkan sasterawan lapuk sedia ada. 

Kita perlukan seorang Jerome Bouchard, untuk apa RM20 juta duit DBP, seriuslah pasukan bajet Anwar Ibrahim?

Secebis untuk diingatkan, DBP malah tidak berjaya membawa karya sastera Melayu ke Indonesia. Boleh dikatakan saya menembusi Indonesia dengan Lelaki Yang Membunuh Kenangan dan Koro, dengan cara terbuang. Sesen pun duit rakyat tidak saya gunakan untuk menerokai jalan itu. Saya tidak menyundalkan wang pembayar cukai. RM20 juta untuk DBP, seriuslah pasukan bajet Anwar Ibrahim?

Kita boleh membayangkan betapa menyeringainya persatuan-persatuan penulis dan aktivisnya yang menganga tengadah RM20 juta tersebut. 

Alangkah eloknya bajet untuk DBP itu dapat dikongsi oleh jurnal Svara misalnya, yang turut menumbuh sastera dan seni tinggi. Dewan Sastera dan Dewan Budaya entah siapa yang membacanya lagi.

Di sinilah terpakai konsep tiga serangkai sondol yang mana pertamanya, bajet sedemikian amatlah menggirangkan hati berapa ramainya sang sondol (yang terlebih dahulu kurang percayakan potensi Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bermoral); keduanya, membahagiakan jiwa sang yang disondol di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana kini mereka beroleh hayat kembali (setelah nyaris malap lantaran gagalnya Perikatan Nasional berkuasa); dan terakhir, wang RM20 juta yang akan menjadi habuan sondolan. RM20 juta untuk DBP, seriuslah pasukan bajet Anwar Ibrahim? 

Jika kita rajin meneliti dan membandingkan bajet yang dibentangkan ketika era Perikatan Nasional (sebelum PRU15) dengan yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan, kita akan mendapati angka-angka sedia ada tidak banyak lari (khusus babak ini sahaja).

Ambil sahaja angka untuk memeriahkan industri perfileman. Jika Tengku Zafrul tempoh hari membentangkan bajet untuk menyuburkan lagi filem ekstrem seperti Mat Kilau, bajet kali ini masih memberi peruntukan yang hampir sama (cuma contoh Mat Kilau dicabut). RM102 juta peruntukan untuk Dana Kandungan Kreatif di era Michelle Yeoh tercalon Oscar menerusi jalan Crouching Tiger – dan dibahagi pula antara Finas, MyCreative dan MDEC – memang membuatkan kita mengah.

Peruntukan untuk seni di peringkat rakyat bawah masih tidak jelas. Malah peruntukan seni budaya masih tersorok di celah ketiak pelancongan, RM115 juta untuk menggalak perjalanan udara, dan RM1.4 bilion untuk jalan pelancongan. 

Masih tidak ada bajet untuk menanam apresiasi untuk seni hidup, untuk mengasuh anak-anak, untuk menjamin kelangsungan seni di tahap generasi baru. 

Seni duhai pasukan bajet Anwar Ibrahim, bukan untuk mak cik Karen datang dari luar, seni juga demi adik Rahmah yang tercari-cari jalan di mana dapat mengetengahkan bakatnya bermain biola.

Belum ketahuan bagaimana bajet ini dapat menghidupkan kembali industri teater kita yang sudah mati akibat pandemik, dan kini bernyawa ikan. 

Tahukah pasukan ekonomi Anwar Ibrahim berapa bayaran yang seorang penulis drama pentas perolehi? 

Tahukah pasukan ekonomi Anwar Ibrahim berapa bayaran yang seorang pelakon drama pentas perolehi? 

Tahukah pasukan ekonomi Anwar Ibrahim berapa bayaran yang seorang penata cahaya drama pentas perolehi? 

Tahukah pasukan ekonomi Anwar Ibrahim berapa bayaran yang seorang pereka busana drama pentas perolehi? 

Tahukah Anwar Ibrahim betapa peritnya Aswara berenang dalam dunia ketidakpedulian seni dan budaya?

Satu yang mesti pasukan bajet Anwar Ibrahim mengerti ialah perbelanjaan untuk seni budaya mestilah untuk mengangkat seni budaya untuk rakyat negara ini, bukan semata-mata untuk turis dan pelancong. 

Seni kita bukan untuk paparan majalah Going Places dalam pesawat MAS. Seni kita tidak sekadar nyanyi gelek kawan-kawan pentas Tiara Jacquelina yang dimainkan sebagai panduan mengenakan tali pinggang kecemasan dalam penerbangan MH.

Mentaliti bahawa seni dan budaya ini untuk pelancong adalah salah. Sepatutnya kita bangunkan seni dan budaya untuk rakyat kita sendiri. Bila mereka hargai dan hayati seni budaya sendiri barulah orang luar juga menumpang sama.

Pasukan bajet Anwar Ibrahim patutnya memandang ke Indonesia. Ada contohan dan panduan di sana. Anehnya, kita sedang mengajar Anwar Ibrahim, yang pernah digelar almarhum WS Rendra sebagai Rajawali?

Seriuslah pasukan bajet Anwar Ibrahim! – 26 Februari, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen