Reezal tanding kerusi naib presiden Umno


Bekas menteri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan hasratnya untuk bertanding jawatan naib presiden Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2023.

REEZAL Merican Naina Merican menyertai pertandingan merebut kerusi naib presiden Umno akan datang.

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan serta ahli majlis tertinggi itu menyerahkan borang pencalonannya hari ini.

Bekas ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata persaingan dalam kelompok yang besar adalah satu perkara yang baik.

“Terdapat banyak kemungkinan tetapi saya percaya kepada satu perkara - Umno memerlukan lebih banyak pilihan.

“Saya menawarkan khidmat saya sebagai calon yang boleh bekerja sepanjang masa memandangkan saya bukan lagi sebahagian daripada kerajaan.

“Jika perwakilan mencari calon yang boleh menjaga parti 24/7, pertimbangkan Reezal Merican,” katanya kepada media selepas memfailkan pencalonannya hari ini.

Reezal adalah yang terbaharu menyertai perebutan kerusi itu selepas penyandang naib presiden Mahdzir Khalid mengumumkan keputusannya mempertahankan jawatan itu pada Khamis.

Bekas menteri besar Kedah itu kali pertama memenangi kerusinya pada 2018.

Dua lagi penyandang adalah Khaled Nordin dan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Khaled mengesahkan keputusannya untuk mempertahankan kerusinya tetapi Ismail Sabri masih belum membuat pengumuman.

Personaliti lain yang bersaing bagi jawatan naib presiden termasuk ahli Majlis Tertinggi Zambry Abdul Kadir, Azalina Othman Said, Johari Abdul Ghani serta Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad dan ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin juga dikatakan akan menyertai persaingan itu.

Umno mengadakan pemilihan bagi 191 bahagian dan 22,000 cawangannya di seluruh negara.

Jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan dipertandingkan selaras dengan resolusi mengenai perkara itu pada perhimpunan agung parti yang lalu. – 25 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen