KPKT timbang kerjasama tingkat operasi pengusaha inap desa


Pengusaha inap desa perlu mengambil kesempatan susulan trend 'staycation' yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2022.

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menimbang kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan kerajaan negeri untuk memberi suntikan kepada pengusaha inap desa agar dapat kembali beroperasi dengan lebih aktif.

Menterinya, Reezal Merican Naina Merican berkata, kerjasama rentas kementerian itu wajar bagi mewujudkan satu garis panduan supaya tidak berlaku pelanggaran akta sedia ada dalam usaha mengembangkan industri berkenaan.

“KPKT akan meneliti keperluan untuk kerjasama ini bagi mengeluarkan garis panduan yang bersesuaian mengenai aktiviti ‘homestay’ yang di bawah seliaan Motac,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan program Visit MyKampung Homestay Kota Aur@Perda di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata, sejak pandemik Covid-19 mula menunjukkan penurunan, aktiviti pelancongan turut mendapat impak positif dan menurutnya kini lebih banyak penerbangan antarabangsa mula tiba di Pulau Pinang.

Katanya, pengusaha inap desa perlu mengambil kesempatan susulan trend ‘staycation’ yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat tempatan dengan meningkatkan promosi, khususnya di penempatan yang mempunyai ciri-ciri unik seperti pemandangan sawah padi suasana kampung, yang semakin diminati ramai. – Bernama, 17 September, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen