Kerajaan pandang serius isu pembangunan di Pulau Pinang, kata menteri


Reezal Merican Naina Merican meninjau pembinaan SMK Bertam Putra di Kepala Batas yang sepatutnya siap pada April 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2022.

KERAJAAN Persekutuan memandang serius isu pembangunan di Pulau Pinang khususnya pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menerima peruntukan RM9.7 bilion.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican berkata dengan peruntukan itu, kerajaan berharap melihat pembangunan di Pulau Pinang berjalan lancar.

“Hari ini kami meninjau kemajuan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Putra yang menelan belanja RM27 juta dan sepatutnya siap pada April 2020 bagaimanapun mengalami kelewatan hampir dua tahun.

“Kontraktor memaklumkan kelewatan projek itu disebabkan oleh pandemik Covid-19, perintah kawalan pergerakan, kenaikan harga barang pembinaan serta kesukaran mendapatkan pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan berkenaan.

Reezal Merican yang juga ahli Parlimen Kepala Batas berkata, sekolah itu kini siap 85.9% dan beliau berharap pelan pemulihan yang akan dibentang berjalan lancar seterusnya menyelesaikan isu ‘projek sakit’ itu menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, apabila berlaku kelewatan dalam pembinaan institusi pendidikan seperti sekolah, ia akan memberi tekanan kepada pembangunan modal insan setempat terutama di kawasan yang sedang pesat membangun seperti Bertam.

“Kami ingin mengelak daripada projek itu ditamatkan kerana jika ia berlaku, projek itu terpaksa melalui proses tender semula yang akan mengambil masa dan mungkin termasuk peningkatan kos manakala kontraktor akan disenaraihitamkan,” katanya. – Bernama, 21 Ogos, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen