Permohonan Najib hanya untuk tangguh bicara SRC International, kata Sithambaram


Noel Achariam

Pendakwaraya V. Sithambaram menuduh peguam Najib Razak cuba melambatkan perbicaraan SRC International dengan meminta penangguhan dan kemudian mengancam untuk menarik diri daripada kes itu jika tidak dibenarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2023.

TINDAKAN peguam bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan untuk meminta penangguhan rayuan akhir SRC International di Mahkamah Persekutuan adalah percubaan untuk menangguhkan prosiding, kata pendakwa ad hoc V. Sithambaram.

Beliau berkata, pihak pembelaan diberi tempoh empat bulan untuk membuat persediaan menghadapi kes itu berikutan permintaan mereka supaya tarikh rayuan ditetapkan mulai 15 Ogos 2022 dan seterusnya.

Sithambaram merujuk kepada permohonan berulang yang dibuat oleh peguam bela Najib yang baru dilantik Hisyam Teh Poh Teik kerana memerlukan masa untuk membuat persediaan bagi kes itu.

“Pembelaan diberi masa empat bulan untuk bersiap sedia. Hisyam juga diberi masa enam hingga lapan minggu untuk membuat persiapan. Jadi, bagaimana dia (Hisyam) boleh masuk dan mengatakan mereka tidak bersedia dan meminta penangguhan?

“Jika tidak diberi, mereka tidak akan berhujah? Ia seperti menahan mahkamah untuk dapatkan tebusan. Siapa yang mengetuai di sini?” katanya di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Tahun lalu, Hisyam berkata beliau tiada dalam kedudukan untuk mempertikaikan kes itu kerana memohon lanjutan tiga bulan dan tidak diberi masa yang mencukupi untuk menyemak dokumen.

Sithambaram berkata pasukan pembelaan baharu telah mengambil mudah bahawa Mahkamah Persekutuan akan memberi penangguhan.

“Perlu ada pelan B. Jika mereka (Hisyam) tidak dapat (penangguhan), mereka mesti bersedia untuk berhujah.

“Mereka mengambil mudah bahawa mereka akan mendapat penangguhan. Mereka tidak sepatutnya menganggap penangguhan akan diberikan sebagai hak mereka.

“Tiada sesiapa boleh memberi jaminan seperti itu kepada perayu.”

Sithambaram berkata apabila Hisyam mengambil alih sebagai peguam Najib, pasukan pembelaan mempunyai tarikh baharu, iaitu lapan hingga sembilan minggu sebelum perbicaraan. – 22 Februari, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen