Mengubah optik perjalanan Dewan Rakyat


Fakhrurrazi Rashid

Komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Parlimen mengubah landskap institusi Parlimen yang selama ini dipinggirkan oleh badan eksekutif. – Gambar Jabatan Penerangan, 22 Februari 2023.

MESYUARAT Dewan Rakyat kali ini menimbulkan pelbagai citrawarna politik hasil pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Sidang kali ini tentunya diikuti rapat oleh rakyat kerana ia melibatkan pembentangan Belanjawan 2023 yang tidak sempat dibentangkan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri Yaakob kerana tergopoh-gopoh mengadakan PRU15.

Secara umumnya, Dewan Rakyat kali ini ada perkara baharu yang memperkukuh institusi demokrasi berparlimen Malaysia. Ada juga amalan lapuk diteruskan beberapa kerat ahli Parlimen yang mengundang kekecewaan rakyat, sehinggakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor didatangi individu di kedai mamak meluahkan kekecewaan melihat persidangan Parlimen riuh seperti zoo.

Itulah pandangan Parlimen di mata rakyat, walaupun secara faktanya, mereka sendiri yang meletakkan wakil-wakil rakyat duduk di Parlimen.

Bercakap tentang pembaharuan, ada juga cerita-cerita baik yang ditonjolkan persidangan kali ini. Komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Parlimen telah mengubah landskap institusi Parlimen yang selama ini dipinggirkan oleh badan eksekutif.

Kesungguhan perdana menteri hadir ke Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan dan mendengar teguran daripada ahli Parlimen, khususnya pembangkang, memberi nilai tambah kepada fungsi Parlimen sebagai badan semak dan imbang.

Keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul memberi ruang sepenuhnya kepada perdana menteri dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap hari Selasa adalah langkah penting memastikan perdana menteri sentiasa aktif mengambil bahagian dalam perjalanan Parlimen. 

Ahli Parlimen pula diberikan ruang untuk membangkitkan pertanyaan kepada perdana menteri secara langsung. Ini juga dapat membina komunikasi dan perbincangan berkesan antara kerajaan dan pembangkang dalam isu-isu semasa di Dewan Rakyat.

Ada juga hasrat rakyat yang mengikuti rapat perjalanan sidang Parlimen melihat kepentingan untuk memberi ruang khusus perdebatan antara perdana menteri dan ketua pembangkang di Dewan Rakyat. Meskipun ia amalan yang baik, sesi MQT pada setiap Selasa itu sudah memadai dan boleh  menjadi eksperimen awal bagi mewujudkan sesi perdebatan tersebut. 

Sikap Anwar sebagai perdana menteri yang aktif di Parlimen haruslah dijadikan ikutan anggota pentadbiran kerajaan perpaduan. Bermaksud, jemaah menteri perlu menunjukkan rasa tanggungjawab dan berhemah menjawab dan mengulas sesuatu isu dengan pengisian yang tuntas, bukan sekadar kitar semula jawaban yang tidak mendatangkan apa-apa kesan yang proaktif.

Permainan naratif kaum dan agama

Kalau ditanya apa yang masih tidak berubah di Parlimen, jawabnya adalah naratif politik kaum dan agama.

Parlimen ke-14 menyaksikan isu-isu sensitif ini sengaja dibangkitkan pembangkang dalam perbahasan bagi menimbulkan persepsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menjaga kepentingan Islam dan Melayu. Propaganda ini akhirnya menjadi punca pertukaran kerajaan dan ketidakstabilan politik negara dalam satu penggal.

Sidang Parlimen kali ini tidak jauh bezanya. Entah kenapa, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memasuki Dewan Rakyat seolah-olah mahu mengumpul bahan kempen bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN). Kebanyakan ucapan perbahasan mengandungi unsur serangan politik terhadap kerajaan perpaduan dalam konteks kaum dan agama.

Provokasi memomokkan parti lawan seperti DAP masih lagi diteruskan pembangkang. Keutuhan kerajaan perpaduan terus dipersoalkan, sehinggakan ada sesetengah pembangkang sanggup menimbulkan keraguan dasar kerajaan dengan fakta yang tidak tepat.

Ahli Parlimen penyokong kerajaan (backbencher), khasnya PH, mudah terperangkap dalam bingkai naratif politik emosi dibawa pembangkang.

Ada sesetengah ahli Parlimen bersikap jelik dengan menjerit dan terpekik-pekik mematahkan hujah pembangkang, kononnya untuk mempertahankan kerajaan perpaduan. 

Sikap buruk segelintir ahli Parlimen inilah punca kefahaman Madani itu tenggelam dan tidak mampu digarap rakyat biasa.

Semua adegan provokasi itu akan menjadi bahan media sosial bagi tontonan rakyat dan ia menimbulkan tanggapan tidak berasas yang sama sekali jauh dengan realiti sebenar di Dewan Rakyat. Apakah semurah itu nilai perbahasan Parlimen kita?

Berlaku juga ketidakseimbangan isu yang dibawa antara backbencher kerajaan dan pembangkang. Isu kebajikan nelayan, pertanian, dan luar bandar kerap dibangkitkan oleh PN. Manakala isu pembandaran, kos perumahan dan kos sara hidup pula dibawa pihak kerajaan perpaduan.

Situasi ini memberi optik menunjukkan adanya perbezaan yang besar antara pihak yang membawa isu masyarakat bandar dan luar bandar. Jurang yang besar ini akan mengakibatkan isu-isu yang sepatutnya dirasai oleh semua rakyat Malaysia terpecah kepada sentimen berasaskan wilayah dan geografi yang boleh membangkitkan sentimen politik identiti yang lebih kompleks untuk diuruskan.

Pemikiran backbencher dan pembangkang perlu berubah

Hakikatnya, backbencher kerajaan, khasnya PH, perlu membawa naratif yang sarat dengan aspirasi rakyat secara kolektif demi menonjolkan keupayaan kerajaan perpaduan dalam memperbaiki kehidupan rakyat yang masih tidak menentu.

Kehadiran ahli Parlimen BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai backbencher perlu dimanfaatkan blok kerajaan untuk mengimbangi isu rakyat luar bandar yang sukar diteladani PH di dalam Parlimen.

Isu-isu ini tidak seharusnya dikuasai blok pembangkang yang boleh mewujudkan ketidakseimbangan perbahasan Parlimen. 

Sikap jelik seperti menjerit dan terpekik-pekik ketika berbahas di Dewan Rakyat harus dielakkan oleh ahli Parlimen kerajaan. Sikap jelek ini adalah budaya politik lapuk yang dibawa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dahulu, kononnya untuk mengkritik pembangkang dan mempertahankan kerajaan BN. Akhirnya, jeritan ahli Parlimen BN di Parlimen itu tidak mampu mengalahkan kehendak rakyat yang menolak parti itu pada PRU14.

Ahli Parlimen PN tidak seharusnya terbuai-buai dengan sentimen PRU15 dan menunggang gelombang hijau semata-mata di Parlimen. Jajaran politik pasca PRU15 telah memberi perspektif baharu kepada rakyat yang cenderung kepada pemimpin yang mampu membina kestabilan politik dan ekonomi yang lebih baik buat negara mahupun rakyat. 

PN perlu menjadi pembangkang yang berwibawa dengan membawa alternatif dan teguran yang bernas kepada kerajaan perpaduan, bukan gopoh untuk mengejar kuasa menjadi Kerajaan sebelum penggal tamat.

Marilah kita mengubah optik melihat Parlimen sebagai institusi menyelesaikan isu rakyat dan negara secara bersama, bukan tempat mencari perbezaan ketara dan membangkitkan naratif sempit yang boleh menjejaskan kestabilan politik dan ekonomi negara. – 22 Februari 2023. 

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen