Wang dalam simpanan Swiss bukan milik kami, kata 1MDB


WANG berjumlah CHF104 juta (RM430 juta) yang disimpan Perbendaharaan Persekutuan Swiss bukan milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebaliknya jumlah denda yang dikenakan ke atas bank yang didakwa melanggar undang-undang Swiss, kata syarikat pelaburan itu hari ini.  

Mengulas berita dan kenyataan media oleh pemimpin pembangkang mengenai perbahasan dan pengundian usul bagi memulangkan semula dana “dicuri” daripada Malaysia oleh Parlimen Swiss, 1MDB berkata wang tersebut tidak boleh dituntut sama ada oleh firma tersebut ataupun kerajaan Malaysia.

“Wang itu bukan milik 1MDB”

“CHP104 juta itu sedang dituntut oleh beberapa bank…yang mempertikai tindakan Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland (Finma) dan sedang merayu tindakan itu di Mahkamah Pentadbiran Persekutuan.

Wang berkenaan adalah hasil daripada denda yang dikenakan Finma terhadap bank-bank berkenaan, katanya. 

Pemimpin pembangkang Lim Kit Siang dan Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menghantar surat kepada pihak Swiss, meminta supaya wakil rakyat di negara itu untuk mengundi bagi menyokong usul yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat Swiss. Proses pengundi dijangka akan dijalankan esok.

Awal hari ini, aktivis anti rasuah Cynthia, yang berada di Switzerland, berkata kerajaan Malaysia tidak melakukan sebarang usaha bagi mendapatkan semula dana yang dirampas Finma daripada bank yang terkait dengan pengubahan wang haram.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) itu hadir bersama organisasi masyarakat sivil ke negara itu dan dijemput untuk berbincang mengenai isu berkenaan dengan wakil rakyat Swiss di Bern.

Tahun lepas, Bloomberg melaporkan yang Finma sedang menyiasat tiga bank berhubung dakwaan pengubahan wang haram dalam 1MDB.  

Selain Switzerland, dakwaan pengubahan wang haram melibatkan syarikat pelaburan negara itu turut disiasat di Singapura dan Amerika Syarikat.

Jabatan Keadilan AS percaya aset bernilai AS$4.5 bilion telah dibeli menggunakan dana yang didakwa dicuri daripada 1MDB. – 14 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Yang bagi nampak kes 1MDB ini serabut ialah puak Pakatan Harapan sendiri apabila selalu menyiarkan dan memuat naik berita dari luar negara tanpa usul periksa. Niat jahat mereka hanyalah untuk memburukkan syarikat tersebut dan juga kepimpinan kerajaan semasa, terutamanya Perdana Menteri. Keadaan terdesak mereka ini bakal makan diri mereka sendiri dalam PRU kelak.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan