Tiada usaha dari Putrajaya dapatkan semula dana terkait 1MDB, kata MP Swiss


KERAJAAN Malaysia tidak melakukan sebarang usaha untuk mendapatkan semula dana yang dirampas, termasuk CHF104 juta (RM420 juta) yang didakwa dicuri daripada syarikat pelaburan negara 1MDB, demikian seperti disahkan wakil rakyat Switzerland.

Dana tersebut dirampas oleh pengatur bank Switzerland Finma daripada tiga bank yang dikaitkan dengan pengubahan wang haram, kata Cynthia Gabriel.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) itu bertemu organisasi masyarakat sivil dan wakil rakyat di Geneva pada Selasa.

“Kegagalan Malaysia menuntut wang berkenaan akan menyebabkan dana tersebut dipindahkan ke perbendaharaan Swiss kecuali Switzerland mengubah undang-undang pemulihan aset mereka,” katanya dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu dikeluarkan Bruno Manser Funds di Basel, C4 dari Malaysia, Global Bersih di Geneva dan Bersih 2.0.

Wakil rakyat Swiss membentangkan satu usul bagi menggesa penghantaran balik rampasan dana yang didakwa pelaburan wang haram dan dicuri oleh 1Malaysia Development Berhad.

Wakil rakyat dalam mesyuarat kebangsaan, dan Dewan Rakyat, dijangka melakukan pengundian sama ada untuk memulangkan dana itu atau tidak pada esok.

Gabriel berkata MP Swiss Carlo Sommaruga membentangkan usul memohon supaya keuntungan yang dirampas hasil rasuah besar-besaran dipulangkan kepada negara asal.

Organisasi masyarakat sivil dijemput untuk berbincang mengenai isu itu dengan MP Swiss dalam satu majlis di Parlimen di Bern, katanya.

“Amat mendukacitakan apabila kerajaan Malaysia dengan sengaja menolak untuk mengakui keuntungan dan aliran kewangan berkaitan 1MDB, membiarkan Parlimen Swiss untuk berbahas dan melakukan pengundian berhubung skandal 1MDB.

“Perbahasan terbuka (tentang 1MDB) di Parlimen Malaysia tidak dibenarkan.

“Kami menghargai insiatif yang ditunjukkan Sommaruga dan berharap wakil rakyat Swiss yang lain dapat menyokong usul kebertanggungjawab untuk memulangkan aset berkenaan kepada rakyat Malaysia.

Pengarah Global Bersih Bala Chelliah berkata jika Perdana Menteri Najib Razak mahukan mandat baharu daripada rakyat Malaysia, beliau mesti menerangkan mengenai kehilangan berbilion ringgit dana tersebut.

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata beliau berharap wang tersebut dapat dipulangkan kepada rakyat Malaysia melalui dana amanah bebas.

Pengarah Bruno Manser Fund Lukas Straumann berkata dalam beberapa tahun lepas, berbilion wang telah dirampas di seluruh dunia dalam prosiding rasuah.

“Switzerland ada tanggungjawab antarabangsa yang besar dalam isu ini dan akan mengetuai usaha untuk memastikan pemulihan wang rasuah kepada negara asal dilaksanakan secara adil dan telus,” katanya.

Pemulihan dana yang tersorok dan tersimpan di luar negara, jauh dari negara asal, dan kegunaannya untuk kepentingan negara yang terkesan daripada amalan rasuah itu adalah prinsip antarabangsa yang diambil hasil konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang turut ditandatangani Malaysia di Mexico pada 9 Disember 2003 dan diratifikasi pada 24 September 2008.  

Konvensyen itu antara lain memasukan bab khusus tentang pemulihan aset yang bertujuan untuk memulangkan aset kepada pemiliknya yang sah, termasuk negara yang mana dana itu diambil secara tidak sah. - 14 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Rakyat tak seharusnya termakan dengan propaganda yang sebegini. Kita tahu 1MDB hanya alat untuk Mahathir jadi Perdana Menteri semula, sama seperti Anwar dan Kit Siangmenjadi isu seperti skandal Forex, pengambilahan syarikat perkapalan milik MIrzan oleh Petronas untuk menjatuhkan Mahathir dulu.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan