PASARAN getah Malaysia ditutup tinggi pada urus niaga Isnin disokong oleh kenaikan dalam harga minyak mentah, kata seorang peniaga.
Beliau berkata pasaran juga bertindak balas positif terhadap prestasi ekonomi China yang menunjukkan lebih banyak tanda-tanda pemulihan.
“Namun begitu, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh aliran bercampur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau selain peserta pasaran terus memantau perkembangan terkini mengenai dasar monetari daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat minggu ini,” katanya.
Peniaga itu berkata harga minyak meningkat pada hari Isnin di tengah-tengah keyakinan terhadap pemulihan permintaan China, kebimbangan yang kekurangan pelaburan boleh menjejaskan bekalan minyak masa depan dan apabila pengeluar utama mengekalkan had pengeluaran.
Sementara itu, beliau berkata dilaporkan bahawa Bank of China mengekalkan kadar utama pinjaman (LPR) setahunnya pada 3.65%, manakala LPR lima tahun tidak berubah pada 4.30%.
“Angka-angka data yang lebih baik daripada jangkaan baru-baru ini menunjukkan aktiviti ekonomi melantun semula apabila Beijing keluar daripada strategi sifar Covid yang ketat pada bulan Disember dan beralih kepada pendirian dasar yang ke arah pertumbuhan,” kata peniaga itu.
Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 naik 8.5 sen kepada 613.0 sen sekilogram (kg) manakala lateks getah pukal menambah 1.5 sen kepada 538.5 sen sekg.
Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 ialah pada 608 sen sekg manakala lateks pukal pada 536.5 sen sekg. – Bernama, 20 Februari, 2023.
Komen