Pemimpin Umno fitnah saya, kata Khairuddin 


Fitnah itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan hubungan baiknya dengan pimpinan Umno, kata Khairuddin, yang juga timbalan pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2021.

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa beliau difitnah oleh pemimpin Umno berhubung isu tanah Lembaga Getah Malaysia (LGM), yang dipajak pada harga yang lebih rendah daripada nilai pasaran.

Fitnah itu dibuat melalui laman Facebook yang dekat dengan sebahagian pemimpin Umno, katanya, yang bagaimanapun tidak beliau namakan.

“Page FB yang sedang memfitnah saya dalam isu LGM adalah mesra sebahagian pimpinan Umno. 

“Sebahagian pimpinan Umno pun sedang bersemangat turut menyerang,” katanya dalam satu komentar pendek di Facebook.

Fitnah itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan hubungan baiknya dengan pimpinan Umno, kata Khairuddin, yang juga timbalan pengarah Institut Penyelidikan dan Strategi PAS.

“Namun ia tidak menghalang saya untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional demi kepentingan ummah. Hubungan baik yang terjalin dengan pimpinan Umno juga tidak terjejas,” tambahnya.

Minggu lalu, Khairuddin membuat laporan polis menafikan tuduhan yang mendakwa beliau campur tangan dalam urusan pajakan tanah milik LGM di Jalan Ampang, Kuala Lumpur kepada sebuah yayasan.

Pajakan itu diluluskan pada harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 untuk keseluruhan tempoh 25 tahun. 

Sebidang lagi tanah milik LGM turut didakwa akan dijual kepada sebuah syarikat, juga di bawah harga pasaran.

Khairuddin membuat laporan polis melalui pegawainya selepas beberapa dokumen melibatkan urusan pajakan itu tersebar di Facebook. Laporan dibuat di ibu pejabat polis Putrajaya.

Bekas pengerusi LGM Ahmad Nazlan Idris minggu lalu menuduh Khairuddin campur tangan dalam urusan dua lot tanah lembaga itu, seperti yang dakwaan yang tersebar.

Pemimpin Umno yang juga Ahli Parlimen Jerantut itu menafikan beliau terlibat dalam urusan tanah tersebut.

Ahmad Nazlan juga berkata kontrak perkhidmatannya sebagai pengerusi LGM ditamatkan pada 14 April dan beliau menolak tawaran Khairuddin untuk dilantik sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Semalam, LGM dalam satu kenyataan menegaskan urusan tanahnya di Jalan Ampang dibuat secara teratur dan mengikut proses yang “telus dan berintegriti”.

“Kenyataan mantan pengerusi LGM bahawa Yang Berhormat Menteri mahukan (pajakan) 5+10+10 tahun adalah tidak tepat. 

“Selain itu, kenyataan bahawa hasil yang boleh diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion adalah tidak tepat,” kata LGM. – 2 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen