Adun Bukit Gasing beri telefon pintar bersubsidi kepada penduduk 


Noel Achariam

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran meneruskan inisiatifnya menyediakan telefon pintar mampu milik untuk golongan memerlukan di kawasannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2023.

ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran meneruskan inisiatifnya menyediakan telefon pintar mampu milik untuk golongan memerlukan di kawasannya. 

Penduduk di kawasannya yang tidak mampu membeli telefon pintar kini boleh membelinya pada harga subsidi RM100 setiap satu.

Rajiv berkata beliau memulakan inisiatif ini ketika pandemik lalu apabila melihat ada yang terputus hubungan berikutan tidak mempunyai kemudahan ini. 

“Jadi, kami mahu merapatkan jurang itu dan mereka yang paling terjejas ialah warga emas,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Rajiv berkata mereka menyediakan telefon Nokia bernilai RM300-RM350 setiap satu dan disertakan dengan jaminan. 

Beliau berkata untuk melayakkan mendapat kemudahan telefon pintar itu mereka mestilah penduduk Bukit Gasing daripada kumpulan B40.

“Mereka boleh datang ke pejabat saya, kami akan menjalankan temuduga dan akan menerima insentif sekiranya layak. 

“Sekiranya mereka tidak mampu membayar RM100 maka kita akan berikan kepada mereka secara percuma,” katanya. 

Katanya, subsidi telefon itu adalah daripada peruntukan Adun dan sumbangannya. 

Rajiv juga berkata mereka turut melancarkan kelas telefon pintar pada Oktober 2021 dan mendapat sambutan positif.

“Ini bagi membantu mereka yang tidak tahu menggunakan telefon pintar. Ramai warga emas yang datang ke kelas kami mempunyai telefon yang bagus tetapi tidak tahu cara menggunakannya.

“Kebanyakan daripada mereka kurang mahir menggunakan alat peranti mereka. Jadi sekarang adalah penting bagi mereka untuk memahami asasnya.

“Ini juga untuk membolehkan mereka menggunakan pelbagai aplikasi dan kekal berhubung dengan keluarga mereka,” katanya.

Rajiv menambah kelas berkenaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan bukan sahaja dari Bukit Gasing.

“Jadi orang Kuala Lumpur, Shah Alam, Subang atau mana-mana kawasan boleh datang,” katanya.

Kelas berkenaan diadakan pada setiap Rabu di Balairaya Seksyen 17, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) dari 10 pagi hingga 12 tengah hari. – 19 Februari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen